MENGENALI SMKBR

SMK BUKIT RANGIN
25150 KUANTAN
Tel : 09-536 6235
Faks : 09-536 1457
Emel : cea4081.smkbr@gmail.com
Tagline : BRASS SUPERB
Slogan : Kejayaan Milik Setiap Murid
Moto: Cendekia, Etika, Terampil
Visi : Sekolah Berkualiti Melahirkan Modal Insan Yang Unggul Menjelang Tahun 2025
Misi : Mengembangkan Potensi Individu Melalui Sistem Pendidikan Berkualiti dan Holistik
SELAMAT HARI GURU 2023-GURU INSANI PEMANGKIN GENERASI MADANI

Wednesday, 11 November 2009

Warkah Untuk Anak-anak Tingkatan 5 yang Bakal Meninggalkan Sekolah


Untuk kesekian kalinya kami berpeluang berpesan. Pesan ini seperti pesan-pesan sebelumnya adalah senada seirama. Cuma amat istimewa kali ini lantaran anak-anak bakal meninggalkan sekolah setelah menghabiskan sisa-sisa alam persekolahan. Mungkin kami tidak lagi berpeluang menasihatimu selepas ini.


Anak-anak,  
Kembaramu ke sini dahulu membawa harapan bukan sahaja untuk dirimu tetapi juga harapan ibu bapa. Maka jangan kau lupa ibu bapamu yang hanya mengharap kepada kejayaanmu. Malang akan menimpamu jika melupakan mereka. Malah malang akan bertimpa-timpa jika nanti kau kurang menyerlah dalam kejayaan memburu ilmu serta melupakan pula ibu bapa.


Anak-anak,
Saban tahun kami bagaikan pengendali perahu di tambatan dan pangkalan ini menerimamu dari tangan ibu bapamu. Kami membawamu menongkah arus dan gelombang, merendah badai dan cabaran menuntut ilmu. Kami akan  menghantarmu ke pangkalan yang seterusnya.


Jika ada kekurangan kami yang mengguris hatimu, kamilah manusia yang tidak sunyi daripada kesilapan dan marah kami adalah taruhan kepada keinginan melihatmu berjaya. Gesaan dan ketidaksabaran kami adalah hambatan waktu yang kian rapat memburu; bimbang kalau-kalau kau terlena, terleka di jalan ilmu ini. Tercicir dan gagal adalah korban yang tidak ingin kami lihat. Fahamilah ayat-ayat cinta kami yang setiap hari bercerita atas kecintaan kepada profesion dan tugas yang menjadi tanggungjawab yang kian memberat dan sering dipersoalankan di dunia ini lagi. Di akhirat, jika kami mengkhianati ikrar dan janji mendidik dan memimpin putera puteri yang dititip sebagai amanah, soalan dan dakwaannya bakal lebih dahsyat.


Jikapun ada penghargaan dan terima kasih darimu, berikanlah dalam rupa dan bentuk kejayaan yang menjadi penyambung lidah kami untuk membela nasib anak-anak bangsa akan datang.


Anak-anak sekalian,
Dapatkah apa yang kau hajati dalam kembara ini? Cukupkah bekalanmu menghadapi peperiksaan penting yang bakal menyaksikan sama ada kau terus belajar atau keluar beradu nasib mencari pekerjaan?


Kami tetap mendoakan kejayaan dan kesihatanmu menghadapi masa dan suasana yang sukar. Berat mata kami memandang, berat lagi bahumu yang menggalas bebanan.Cuma ingatlah bahawa beban ini bukan kamu sahaja yang menggalasnya tetapi juga semua orang yang terdahulu dan yang akan datang.


Apapun yang akan berlaku selepas itu adalah pilihanmu. Ramai orang memilih tetapi adakah jaminan bahawa pilihan itu tepat? Kami bekalkan untukmu pelajaran dan didikan  yang akan membantumu membuat pilihan. Pilihlah jika kau telah melihat semua jalan dengan terang.


Juga dengan usaha dan tawakal pilihlah jalanmu. Jalanmu itu nanti bakal membawamu membina diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Jangan kau khianati amanah ini. Anak cucu kami bakal bernaung di bawah payung yang kau sediakan. Pastikan paying itu tak bocor dan kejap dalam genggamanmu. Bawalah generasi akan datang dengan yakin membina mercu tanda bangsa berdaulat.


Tetapkanlah pendirianmu menjadi manusia yang bukan sahaja baik, tetapi hebat akhlak dan sahsiah. Kami bakal menyerahkan negara ini untuk kaucorakkan. Tak mungkin kau mampu mencorakkannya dengan cantik mungkin jika dirimu sendiri tidak terdidik dengan sifat-sifat mulia.


Kalau nak tahu batang tebu
Batang tebu halus uratnya
Kalau nak tahu orang berilmu
Orang berilmu halus perangainya


Kata baginda Saidina Ali, ilmu itu bakal menjagamu, sedangkan harta kamu akan terbeban menjaganya. Ilmu itu tak dapat orang mencurinya,  sedangkan harta itu bisa penjangak merampasnya..


Membilang bermula satu
Bertemu memberi salam
Dilipat sebesar kuku
Dibentang seluas alam


Itulah sifat dan nilai ilmu yang menjadi bekalmu dalam perjalanan seterusnya.


Berbekal jugalah wahai anak-anak dengan sebaik-baik bekalan iaitu takwa. Dijelaskan lagi oleh Saidina Ali bahawa takwa itu syaratnya takut kepada Allah, mematuhi tanzil iaitu al-Quran, berasa cukup dengan yang sedikit dan menyediakan bekal untuk musafir yang jauh.


Tanya olehmu adakah kau  mampu mengecapi kecemerlangan dunia dan akhirat? Kita sememangnya khalifah di bumi tetapi tetap memiliki kewarganegaraan akhirat. Sampai masa berangkat, tiada lagi jalan kembali maupun berpatah balik mengutip bekalan tambahan. Kita semua bakal yatim dan dagang mengharap belas ihsan Allah.


Pesan ke hujung nyawa, kehujung jalan, ke hujung kembara manusia telah kami titipkan. Ingat, ingat dan ingatlah.



10 November 2009

Sunday, 8 November 2009

Guru Praktikal sesi 2 2009

Budi yang baik dikenang jua....
Seramai 3 orang guru pelatih dari Universiti Darul Iman, Terengganu telah berjaya menamatkan latihan praktikal pengajaran dan pembelajaran mereka di SMK Bukit Rangin selama 3 bulan bermula dari Ogos lepas. Ketiga-tiga guru pelatih Pendidikan Islam ini telah diberikan penghargaan dalam satu majlis ringkas di Bilik Tuan Pengetua SMK Bukit Rangin pada Jumaat, 30 Oktober sebagai menghargai jasa mereka selama berada di sekolah ini.
  
Dari kiri: En Mohd Nazim (Pengerusi Kelab Staf), Ust Rozeli, Ust Haziman, Tn Hj Abdul Rahim (Pengetua), En Mohammad Nasri (GPK HEM), Ust. Shahrul dan Hj. Azhar (Kaunselor).

Pengurusan Sekolah


Pengetua
HAJI ZAIMI BIN ABU BAKAR

Penolong Kanan
        
          

Guru Kanan Mata Pelajaran
      
       

Guru Kaunseling
      
       

Guru Cemerlang

Tuesday, 3 November 2009

Pertandingan Merentas Desa Peringkat Sekolah

Pada 14 Februari 2009 SMK Bukit Rangin telah menganjurkan Pertandingan Merentas Desa. Pertandingan ini disertai oleh pelajar-pelajar SMKBR dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 yang dibahagikan kepada empat ketegori: lelaki B15, lelaki B18, perempuan B15 dan perempuan B18.






Monday, 2 November 2009

Majlis Pelantikan Pengawas

Pada 19 Januari 2009, pengawas-pengawas baru SMK Bukit Rangin telah dilantik dalam majlis yang serba sederhana. Majlis ini juga menyaksikan bacaan ikrar oleh pengawas-pengawas baru. Pengawas-pengawas baru ini dipilih daripada calon-calon yang paling berkaliber pada tahun sebelumnya.











Kem Kepimpinan Bersepadu

Kem Kepimpinan Pengawas telah diadakan pada 13 hingga 15 Mac 2009 di Taman Pertanian Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.











Friday, 23 October 2009

Pertandingan Menulis Esei Yayasan Kepemimpinan Perdana

Pada 3 Jun 2009, wakil-wakil dari SMK Bukit Rangin termasuklah Pengetua, Tuan Hj Abdul Rahim Mohd Yunus dan empat orang guru telah menghadiri majlis penyampaian hadiah untuk pertandingan menulis esei bertemakan 'Nurturing the Minds of Future Leaders' yang dianjurkan oleh Yayasan Kepemimpinan Perdana pada tahun 2008.

Yayasan Kepemimpinan Perdana merupakan suatu yayasan yang ditubuhkan untuk mengkaji kepemimpinan Malaysia dan tugasnya dalam pembangunan negara. Pertandingan esei kali ini ialah kali kedua pertandingan ini diadakan. Kali pertama pertandingan ini diadakan adalah pada tahun 2006.

SMK Bukit Rangin telah menghantar satu penyertaan oleh Nurul Nadiah binti Nordin. Eseinya bertajuk '100 Years is How Far We've Come' dan dia telah mendapat tempat kedua dalam kategori menengah rendah. Hadiah yang diperoleh termasuklah RM500 tunai daripada Bank Rakyat, baucer kedai buku MPH bernilai RM300 serta iPod nano 16GB bernilai RM719.


Nurul Nadiah menerima hadiah daripada Tun Dr Siti Hasmah bt Mohd Ali.


Nurul Nadiah bersama pemenang-pemenang lain kategori menengah rendah: Joy Hii Mei Xin dari SMK St Columba, Miri, Sarawak (tempat pertama, tiga dari kanan) dan Tarvinder Kaur a/p Gogisar Singh dari SMK Gunung Rapat, Perak (ketiga, dua dari kanan).


Nurul Nadiah bersama guru-guru SMKBR.


Turut menghadiri majlis ini ialah bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 yang juga Presiden Terhormat Yayasan Kepemimpinan Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Profesor Emeritus Dr Khoo Kay Kim (kanan) yang juga menjadi ketua hakim pertandingan ini.

Maklumat lanjut boleh ditemui di pautan (link) ke laman web Yayasan Kepemimpinan Perdana. Esei '100 Years is How Far We've Come' boleh dimuat turun (download) daripada pautan (link) ini.