Ketibaan kami disambut senyum manis petugas-petugas arkib. Seramai 80 orang ahli Kelab Rukunegara dan Kelab Pencegahan Jenayah BRASS memenuhi ruang pameran tingkat bawah Arkib Negara Cawangan Pahang Indera Mahkota yang tersergam indah. Sedikit penerangan disampaikan oleh salah seorang petugas arkib, Cik Maimunah bt Osman tentang pameran yang diadakan.
Pameran bersempena Program Lestari Ilmu Pahang 2013 memberi banyak informasi tentang pembentukan Malaysia dan keluarga Diraja Pahang. Para peserta rombongan mengambil kesempatan untuk mencatat informasi-informasi penting lantaran mendapat arahan untuk menulis laporan seusai lawatan ini nanti! Pastinya maklumat yang didedahkan juga mampu membantu mereka mengingat kembali apa yang dipelajari dalam mata pelajaran Sejarah di kelas.











