MENGENALI SMKBR

SMK BUKIT RANGIN
25150 KUANTAN
Tel : 09-536 6235
Faks : 09-536 1457
Emel : cea4081.smkbr@gmail.com

Lokasi : Perumahan Bukit Rangin
Visi : SMK Bukit Rangin Sekolah Kluster Kecemerlangan Tahun 2016
Misi : Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara

Thursday, 4 February 2010

Gerak Kerja Unit Beruniform

03 Januari 2010. Kali pertama aktiviti Unit Beruniform dijalankan setelah Mesyuarat Agung yang diadakan pada Rabu minggu sebelumnya. Semua pasukan unit beruniform seperti sepakat mengadakan aktiviti kawat asas iaitu salah satu elemen penting dalam aktiviti unit beruniform. Setiap pasukan nampaknya begitu teruja sewaktu berlatih berkawat. Ada ahli yang berpenyakit seperti jantung berlubang dan lelah telah dinasihatkan supaya berehat untuk mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak berbau. Walau bagaimanapun, tahniah kepada semua murid yang hadir, dan teruskan semangat anda!

Tuesday, 2 February 2010

Pelancaran Polisi Sekolah Selamat

01 Februari 2010. Pelancaran Polisi Sekolah Selamat bermatlamatkan untuk mewujudkan sekolah yang tenteram dan kondusif untuk membina insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta sahsiah. 10 Polisi Sekolah Selamat telah dimodulkan yang akan menjadi penunjuk arah kepada warga sekolah dan masyarakat setempat;
     1. Pergi dan Balik Sekolah
     2. Keselamatan di Tempat Belajar
     3. Kebersihan dan Kesihatan
     4. Disiplin
     5. Bencana Alam
     6. Keselamatan daripada Gangguan Emosi dan Rohani
     7. Keselamatan Harta Benda
     8. Kegiatan Luar
     9. Pencerobohan Kawasan Sekolah
   10. Keselamatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Sukan dan Kokurikulum.
Majlis lebih bermakna dengan kehadiran Inspektor Juliana bt Jamak dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk merasmikan Pelancaran Polisi Sekolah Selamat.
Barisan VIP
Ucapan alu-aluan Penegrusi Majlis
Taklimat Sekolah Selamat oleh GPK Hal Ehwal Murid
Tetamu, guru-guru dan murid-murid
Taklimat Keselamatan di Jalan Raya dan
Perasmian Polisi Sekolah Selamat oleh Inspektor Juliana bt Jamak
Penyerahan Polisi Sekolah Selamat kepada Penyelaras Tingkatan
dan Wakil Bilik Khas
Penyampaian cenderamata penghargaan untuk tetamu jemputan
Sekolah Selamat, Kecemerlangan Meningkat.

Monday, 1 February 2010

Terima Kasih Nurul Nadiah!

Assalamaualaikum dan Salam sejahtera. 
            Ralat sekiranya saya tidak menzahirkannya di sini, di atas kertas maya ini. Saya kira pembaca pastinya akan memahami mengapa saya memilih Nurul Nadiah sebagai subjek bicara saya di akhir ruangan ini dan ini adalah kali pertama saya menulis secara personal.
            Nurul Nadiah bt Nordin, seorang murid yang telah pernah mengharumkan nama sekolah pada tahun 2008. Ketika itu, gadis manis berkulit putih ini murid tingkatan 2 Cendekia. Masih jelas di ingatan saya, pada April 2008, kami bertolak ke Kuantan Parade seawal jam 8.00 pagi ke pertandingan Spell-It-Right Challenge anjuran The New Straits Times dan RHB Bank Peringkat Negeri Pahang. Saya bersama peserta-peserta yang mewakili SMK Bukit Rangin ke pertandingan tersebut termasuklah Nurul Nadiah terpaksa menunggu selama lebih kurang 45 minit di parking kereta bangunan tersebut sebelum dibenarkan masuk pada pukul 9.00 pagi. Kami berada di pasaraya tersebut sehinggalah pukul 6 petang selepas Nurul Nadiah dinobatkan Juara pertandingan dan akan mewakili Negeri Pahang ke peringkat Kebangsaan pada bulan Ogos berikutnya di Kuala Lumpur. Sebelum balik, saya dan keluarganya menunggu pula kira-kira setengah jam lagi untuk memberi ruang kepada wartawan menemubual Nadiah dan menetapkan hari Isnin berikutnya mereka, `orang TV3' akan datang ke sekolah untuk membuat liputan tentang rutin harian Nadiah!
Nurul Nadiah bersama Ketua Hakim dan pemenang tempat ke-2 dan ke-3.
             Pn. Rokiah, Pengetua SMK Bukit Rangin pada waktu itu terkejut apabila dimaklumkan tentang kehadiran mereka. Murid-murid pula, ada yang tercengang-cengang dan tak kurang juga seronok kerana berangan nak masuk TV. Para wartawan ini menghabiskan kira-kira 5 jam merakamkan segala kegiatan Nadiah di dalam dan di luar kelas. Mereka memuji sekolah kita sangat cantik dan berbeza daripada sekolah-sekolah lain yang pernah mereka kunjungi.
            Ogos 2008 akhirnya menjelma. Sepetimana yang dijadualkan, saya dan johan negeri itu berangkat ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Pertandingan Spell-It-Right peringkat Kebangsaan  yang akan diadakan di Auditorium Muzium Negara. Sebelum daripada itu, sempat pula saya memohon daripada PIBG untuk mendapatkan sedikit sumbangan buat Nurul Nadiah kerana mewakili sekolah dan negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan. PIBG meluluskan permohonan tersebut dengan sumbangan sebanyak RM50.00 untuk seorang wakil sekolah.  Kami pergi sehari sebelum dengan menaiki bas ekspres kerana saya kurang mahir memandu di Kuala Lumpur. Disebabkan waktu itu Nadiah seorang Pengawas Percubaan, maka tiket basnya telah ditaja oleh Badan Pengawas SMK Bukit Rangin. Sesampai di Hentian Pekeliling, kami kemudiannya menaiki teksi menuju ke penginapan yang disediakan penganjur di International Youth Centre (IYC), Cheras berhampiran dengan Maktab Perguruan Ilmu Khas. Nurul Nadiah ialah peserta kedua sampai di situ. Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata Nadiah apabila mendapati dirinya antara yang terawal sampai, "Ini petanda baik!". Dalam hati saya berdoa semoga kata-katanya menjadi kenyataan.
             Saya dapati Nadiah seorang yang mudah berkawan walaupun kelihatannya dia seperti `lone ranger' di sekolah. Malam itu ketika makan malam, saya nampak dia duduk di dalam kelompok peserta-peserta dari sekolah-sekolah lain. Dia berbual rancak dengan rakan-rakan barunya dan sekali sekala diselang-seli dengan gelak ketawa. Berbanding saya yang lebih selesa menggunakan bahasa ibunda untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan baru saya (guru-guru pengiring dari negeri-negeri lain), Nadiah dan rakan-rakannya seperti berada di Broadway! Sebelum masuk ke bilik masing-masing, saya sempat mengingatkan Nadiah supaya menjaga kelakuan kerana dia membawa nama sekolah dan negeri. Saya juga meminta dia supaya sentiasa berdoa semoga Allah memberi kelapangan dada dan fikirannya sewaktu pertandingan nanti. 
Nurul Nadiah bersama peserta-peserta di hadapan IYC.
                 Pagi esoknya sebelum sarapan, Nadiah datang ke bilik saya dengan berpakaian sekolah dan blazer yang dipinjam daripada Pn. Noor Azizawati.  Daripada wajahnya, nampaknya dia sudah bersedia mental dan fizikal. Saya berasa sedikit lega kerana dia tidak gelabah tetapi `cool'. Selepas bersarapan di Cafe IYC, semua peserta dan guru pengiring menaiki bas yang disediakan oleh pihak penganjur untuk ke Auditorium Muzium Negara. Maka debaran pun bermula....
             Nadiah kelihatan sentiasa berkeyakinan setiap kali menjawab soalan. Saya kagum dengan keberaniannya walaupun baru  berumur 14 tahun dan pertama kali mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Dia sentiasa berkeyakinan seiring dengan keyakinan saya pada waktu itu yang Nadiah pasti akan mengukir kemenangan. Sekurang-kurangnya antara tiga yang teratas! Mungkin keyakinan dan semangatnya itu juga hasil kehadiran kesemua adik beradik dan ibu bapanya serta rombongan rakan-rakan sekolah dan beberapa orang guru iaitu En. Azhar, Pn. Zanariah, Pn.Umbi Kalthum, Pn. Noranitah, Pn.Mahani dan Pn.Norlela.
Nurul Nadiah ketika pusingan preliminary 

                  Keberanian dan semangat Nadiah akhirnya membawa dia ke peringkat akhir pertandingan. Debaran makin kuat terasa apabila melihat hanya tiga orang peserta sahaja termasuk Nadiah berada di atas pentas, dan dialah peserta termuda! Saya dan ibu Nadiah, Pn. Amalina (guru Bahasa Inggeris di SMK Gudang Rasau) sudah mula gembira malahan bersyukur kerana biarpun menang atau kalah, Nadiah dah pun berjaya sampai ke final!
 
Aksi Nurul Nadiah sewaktu pusingan akhir.......
               Dalam keadaan penuh debaran itu, sempat pula dia bergurau dengan Pengerusi pertandingan iaitu Mr Rehman sehingga beliau menggelarnya `cheeky girl'. Auditorium riuh dengan gelak ketawa buat seketika. Saya merasa sedikit bimbang ketika itu sekiranya Nadiah akan terlebih kelakuan di hadapan orang ramai. Begitu juga dengan ibunya. Walau bagaimanapun, nampaknya dia under controlled. Dengan satu kesalahan ejaan perkataan, Nurul Nadiah akhirnya menang tempat ke-2. Saya kira itu sudah cukup baik buat Nadiah kerana usianya masih muda dan masih banyak lagi peluang di masa akan datang untuk dia mencipta sejarah yang lebih besar. Kami pulang keesokan harinya dengan penuh kegembiraan dan bertambah penuh lagi dengan hadiah-hadiah yang dimenangi Nadiah; dua keping replika cek bernilai RM8,000.00, trofi individu dan dua buah komputer riba jenama Acer. Sebahagian hadiah-hadiah tersebut adalah untuk sekolah iaitu cek bernilai RM4,000.00 dan sebuah komputer riba. Terima kasih Nadiah kerana membawa kemenangan besar kepada negeri dan mengharumkan nama sekolah. Saya sendiri secara peribadi berterima kasih kepada Nadiah kerana komputer riba itu sekarang berada di tangan saya. Kerana kemengan itu juga, nama Nadiah dan SMK Bukit Rangin beberapa kali terpapar di dada akhbar The New Straits Times dan The Sunday Times. Betapa bangganya saya waktu itu untuk berkongsi kemenangan dengan dia. Tidak sia-sia pemergian kami ke Kuala Lumpur!
      
Nurul Nadiah menerima hadiah daripada
Dato' Seri Hishamuddin b Tun Hussein, Menteri Pelajaran pada waktu itu.
Bersama Nadiah di pentas kejayaan
                Cerita tentang Nurul Nadiah tidak terhenti setakat itu. Dia sekali lagi mencipta sejarah apabila diumumkan memenangi tempat ke-2 kategori Menengah Rendah Pertandingan Menulis Esei anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana pada tahun 2009. Sekali lagi saya bersama-sama empat orang guru SMK Bukit Rangin menyaksikan anak permata ini menerima hadiah kejayaan daripada Tun Dr Siti Hasmah bt Mohd Ali di bangunan Yayasan di Putrajaya. Sesungguhnya kemenangan Nadiah bermakna kemenangan sekolah juga. Sesungguhnya kemenangan dia bukan kerana usaha sesiapa melainkan dirinya sendiri dan dia berhak memilikinya kerana kerajinan dan usahanya itu. Tanyalah apa sahaja, Nadiah pasti dapat menjawabnya kerana dia dibesarkan di dalam longgokan buku-buku di rumahnya.
Nurul Nadiah bersama keluarganya.
Nurul Nadiah bersama guru-guru pengiring.
                 Sebelum berakhir tahun 2009, saya dengan kerjasama Nadiah telah berjaya membina laman blog ini. Saya mempelawa Nadiah apabila mengetahui dia memang `kaki blog' dan saya harus manfaatkannya untuk kebaikan sekolah. Perkara ini telah lama dirancang sebagai program pasca PMR, lama sebelum dia mengambil peperiksaan lagi dan dia juga bersetuju. Maka akhirnya inilah hasil yang anda semua saksikan, sebuah blog SMK Bukit Rangin yang paling simple! Insya Allah, blog ini akan dimajukan dari semasa ke semasa bergantung kepada kelapangan masa dan kerjasama sesiapa yang berminat.
                Sekarang, saya selalu menyebut Nadiah The Legend kepada kawan-kawan saya. Walaupun Nadiah tidak lagi belajar di sekolah ini kerana bertukar ke SMK Abdul Rahman Talib, namun namanya tetap terpahat sebagai seorang jaguh yang pernah mengharumkan persada SMK Bukit Rangin. Dan bagi saya pula, Nadiah tetap terpahat di hati saya sebagai seorang murid yang rajin, baik, taat, patuh dan mendengar kata. Kami telah mengharungi beberapa episod kehidupan bersama-sama di SMK Bukit Rangin lebih-lebih lagi dia ialah bekas murid saya selama dua tahun iaitu semasa dia di Tingkatan Satu dan Tiga. Saya berasakan Nadiah bakal menjadi `somebody' suatu hari nanti dan semoga Allah sentiasa membimbing Nadiah menjadi seorang yang wanita yang berjaya dan solehah. Amiiiin....

Dari sudut hati seorang guru,
 Pn. Zarina bt Aziz