MENGENALI SMKBR

SMK BUKIT RANGIN
25150 KUANTAN
Tel : 09-536 6235
Faks : 09-536 1457
Emel : cea4081.smkbr@gmail.com
Tagline : BRASS SUPERB
Slogan : Kejayaan Milik Setiap Murid
Moto: Cendekia, Etika, Terampil
Visi : Sekolah Berkualiti Melahirkan Modal Insan Yang Unggul Menjelang Tahun 2025
Misi : Mengembangkan Potensi Individu Melalui Sistem Pendidikan Berkualiti dan Holistik
SELAMAT HARI GURU 2023-GURU INSANI PEMANGKIN GENERASI MADANI

Friday 23 October 2009

Pertandingan Menulis Esei Yayasan Kepemimpinan Perdana

Pada 3 Jun 2009, wakil-wakil dari SMK Bukit Rangin termasuklah Pengetua, Tuan Hj Abdul Rahim Mohd Yunus dan empat orang guru telah menghadiri majlis penyampaian hadiah untuk pertandingan menulis esei bertemakan 'Nurturing the Minds of Future Leaders' yang dianjurkan oleh Yayasan Kepemimpinan Perdana pada tahun 2008.

Yayasan Kepemimpinan Perdana merupakan suatu yayasan yang ditubuhkan untuk mengkaji kepemimpinan Malaysia dan tugasnya dalam pembangunan negara. Pertandingan esei kali ini ialah kali kedua pertandingan ini diadakan. Kali pertama pertandingan ini diadakan adalah pada tahun 2006.

SMK Bukit Rangin telah menghantar satu penyertaan oleh Nurul Nadiah binti Nordin. Eseinya bertajuk '100 Years is How Far We've Come' dan dia telah mendapat tempat kedua dalam kategori menengah rendah. Hadiah yang diperoleh termasuklah RM500 tunai daripada Bank Rakyat, baucer kedai buku MPH bernilai RM300 serta iPod nano 16GB bernilai RM719.


Nurul Nadiah menerima hadiah daripada Tun Dr Siti Hasmah bt Mohd Ali.


Nurul Nadiah bersama pemenang-pemenang lain kategori menengah rendah: Joy Hii Mei Xin dari SMK St Columba, Miri, Sarawak (tempat pertama, tiga dari kanan) dan Tarvinder Kaur a/p Gogisar Singh dari SMK Gunung Rapat, Perak (ketiga, dua dari kanan).


Nurul Nadiah bersama guru-guru SMKBR.


Turut menghadiri majlis ini ialah bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 yang juga Presiden Terhormat Yayasan Kepemimpinan Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Profesor Emeritus Dr Khoo Kay Kim (kanan) yang juga menjadi ketua hakim pertandingan ini.

Maklumat lanjut boleh ditemui di pautan (link) ke laman web Yayasan Kepemimpinan Perdana. Esei '100 Years is How Far We've Come' boleh dimuat turun (download) daripada pautan (link) ini.

Pertukaran Pelajar (Student Exchange)

Pada Februari 2009 seorang pelajar dari Costa Rica bernama Abraham Morales Gonzalez tiba di SMK Bukit Rangin dan merasai suasana persekolahan di sini selama kira-kira dua bulan. Pada 13 April suatu majlis perpisahan telah diadakan di Dewan Besar sekolah.

Ucapan tentang program pertukaran pelajar juga diberi oleh Pn Wong, Presiden American Field Service (AFS), Bahagian Kuantan.







Abraham juga memberikan ucapan ringkas tentang pengalamannya di Malaysia dan di SMKBR dalam bahasa Sepanyol, iaitu bahasa rasmi negara asalnya. Acara perpisahan ini berakhir dengan pemberian cenderamata kepada Pn Wong dan Abraham.

Ucapan Alu-aluan Pengetua untuk Buku Program Hari Anugerah Cemerlang 2009

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Menjelang tahun 2010, SMK Bukit Rangin meletakkan harapan dalam visinya untuk muncul sebagai sekolah yang cemerlang. Sememangnya kita berpotensi tinggi untuk cemerlang kerana sedar atau tidak kita telah berada pada kedudukan atas dalam “liga kedua”.

Hingga kini sokongan padu JPNP, PPD, PIBG, Yayasan Pahang, agensi-agensi kerajan serta komuniti telah memberi ruang dan peluang kepada kita untuk melakukan perubahan dan maju melakar kecemerlangan. Kita amat menghargai sokongan tersebut dan terhutang budi.

Aspek pengurusan kewangan sekolah, akademik, kokurikulum, serta pelbagai pencapaian khas pelajar SMK Bukit Rangin, membuktikan bahawa pengiktirafan yang diterima adalah hasil usaha kita bersama. Namun, kita sama sekali tidak boleh selesa dengan pencapaian dahulu dan sekarang tetapi mesti bersedia menjana kecemerlangan yang akan datang. Kita mempunyai keupayaan atau kapasiti untuk mencapai kehebatan.

Banyak ruang yang masih boleh diperbaiki. Banyak juga soalan yang masih belum berjawab dengan yakin. Cemerlang benarkah kita? Mampukah kita terus meningkatkan kecemerlangan dalam suasana yang kian mencabar? Adakah indikator atau petunjuk semasa menghala atau menjurus ke arah yang positif? Sediakah kita membayar harga kecemerlangan?

Semua itu adalah antara banyak lagi soalan yang patut menjadi renungan serta pendorong peningkatan usaha perjuangan semua pihak. Kita tidak boleh berterusan di tahap sedia ada (status quo). Oleh sebab jalan perjuangan tidak akan sunyi daripada halangan dan rintangan, saya menyeru seluruh warga SMK Bukit Rangin (guru, pelajar, ibu bapa dan kakitangan sokongan) bersedia menghadapi sebarang cabaran mendatang.

Salam kecemerlangan dunia dan akhirat.


Haji Abdul Rahim bin Mohd Yunus
Pengetua
SMK Bukit Rangin

Thursday 22 October 2009

Carta Organisasi Unit Hal Ehwal Murid



Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah

Pada 18 Mei 2009, Sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah diadakan di SMK Bukit Rangin untuk menghargai jasa guru-guru yang telah banyak berbakti untuk mendidik pelajar-pelajar. Sambutan ini dilakukan secara sederhana walaupun terdapat pelbagai aktiviti yang dilakukan pada hari tersebut.

Sambutan bermula dengan perhimpunan yang diadakan pada pukul 7.40 pagi. Dalam perhimpunan ini, wakil guru dan juga wakil pelajar membaca perutusan daripada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin serta Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato Haji Alimuddin Bin Haji Mohd. Dom.

Perhimpunan ini pula disusuli oleh bacaan ikrar dan nyanyian lagu 'Guru Malaysia' oleh guru-guru SMK Bukit Rangin. Setelah perhimpunan bersurai, aktiviti sukaneka pula dijalankan dan disertai oleh pelajar-pelajar serta guru-guru.

Selain daripada sukaneka, pertandingan bola jaring dan bola sepak antara pelajar-pelajar dengan guru-guru juga diadakan. Perhimpunan sekali lagi diadakan di Dewan Besar pada kira-kira jam 11 pagi untuk menikmati persembahan daripada guru-guru dan pelajar-pelajar SMK Bukit Rangin serta memberikan hadiah kepada pemenang-pemenang sukaneka dan pertandingan sukan.


Nyanyian lagu `Guru Malaysia' oleh guru-guru


Perlawanan bola jaring antara guru dan murid
 

Persembahan pelajar
 
Persembahan nyanyian oleh GPK Kokurikulum, En. Rosli b Sahak

Lawatan Tengku Mahkota Pahang ke Pusat Pemindahan Banjir 2009

Pada Ahad, 5 Januari 2009 Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah telah melawat mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan ke dewan SMK Bukit Rangin yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.



Baginda telah memberikan sedikit cenderahati kepada setiap keluarga mangsa banjir dan telah melihat keadaan mangsa banjir.




Sedikit derma juga diberikan kepada golongan kanak-kanak.


Selepas itu, baginda memberikan ucapan kepada mangsa-mangsa banjir.