Ketika berdiri di hadapan pohon sebesar paha yang merintangi jalan, sedikit pun aku tidak terfikir betapa banyak pengajaran Allah sediakan malam ini. Malam hujan lebat dengan ribut petir.
Beberapa detik sebelumnya aku membrek kereta yang dipandu hampir 55 km/j. Anak-anakku menjerit apabila terlihat pokok yang aku langgar. Aku menekan butang 'hazard light' dan keluar dalam hujan yang lebatnya berkurangan. Sebuah kereta Toyota Wish berhenti di belakang dan turut menyalakan lampu kecemasan. Dia memeriksa bahagian hadapan keretaku dan membuat rumusan pantas. "Kena sikit depan tu". Aku seboleh-bolehnya tak mahu memeriksa kereta dalam keadaan cemas begitu.
Tebing jalan yang sedikit tinggi itu barangkali tak mampu bertahan akibat curahan hujan dan tiupan angin. Pohon balak muda yang menyembah jalan basah itu terlalu berat untuk kederat aku dan pemandu Wish tadi mengalihnya. Beberapa kenderaan yang dipandu laju terpaksa mengalah.Lorong dua hala yang boleh dilalui 3 kereta itu hanya boleh meloloskan satu kenderaan. Sebuah motosikal membrek cemas di sebelah keretaku. Seorang penunggang motosikal dari arah bertentangan turun untuk membantu. Lori 1 tan mendekat perlahan dan berhenti apabila kami bertanya "Ada parang?".
Kami sefahaman nampaknya apabila semuanya cuba mengawal lalulintas dan mengalih halangan di jalan Semambu yang sibuk. Jam ketika itu baru beberapa detik melewati 8.30 malam.
Aku dan orang yang turun dari kenderaan untuk membantu semuanya berpakaian gelap. Hari malam dengan hujan begini menambah pelbagai risiko. Aku dapati parang yang dipinjamkan pemandu lori itu cukup membantu. Parang panjang berbentuk sabit itu aku hayun keras menakik dahan-dahan sebesar lengan. Aku cuma ingat yang aku memotong 3 dahan dan mula mengah. Pemandu Wish pula tak dapat banyak memotong dahan kerana parang pendua yang kecil bukan lawan pokok tumbang yang juga berserabut dengan pokok-pokok menjalar yang keras.
Tidak disangka-sangka, bantuan datang dalam bentuk sebuah jengkaut yang muncul dari lorong perumahan berdekatan. Tak pernah aku rasa begitu gembira melihat jengkaut.Pemandunya mengisyaratkan dengan tangan agar aku mengundurkan sedikit kereta.Tampang gergasi besi yang gagah itu begitu meyakinkan serta melegakan. Dengan sekali sodok sahaja, pokok yang tumbang itu dikesampingkan ke tebing yang tadinya seakan mengkhianati kehidupannya.
Aku, pemandu Wish,pemandu lori, pemandu jengkaut dan penunggang motosikal mengangkat tangan saling mengucap terima kasih. Kami tiada banyak komen. Kami cuba menyelesaikan masalah gangguan awam sedapat mungkin dan Allah membantu. Dalam waktu kurang 15 minit semuanya selesai.
Aku mula membuat refleksi:
1. Betapa bersyukur tiada kejadian lebih buruk. Aku mungkin terlanggar terus pokok tumbang dan dilanggar dari belakang oleh kenderaan lain:Lori,bas, lori simen, lori tayar 16? Korban malam ini selain sedikit waktu makan malam kami hanyalah sekeping plet nombor kereta, (Syukurlah pada Allah dengan sekolah yang kita dapat),
2. Kami cuba menyelesaikan masalah tanpa mengira siapa, asalkan dapat memberi bantuan. Aku mengingat semula bahawa malam ini semangat 1Malaysia jelas dizahirkan. Penunggang motosikal, keturunan India, pemandu jengkaut; keturunan Cina, aku dan pemandu Wish:keturunan Melayu. (Dapat jadi modal aku bercerita kisah benar kepada murid),
3. Pentingnya memandu perlahan dalam keadaan hujan, lebih-lebih lagi waktu malam. (Utamakan keselamatan di sekolah),
4. Aku patut lebih berhati-hati. Sebelum melanggar pokok tumbang, sekurang-kurangnya dua kereta memberi isyarat lampu. Aku tafsirkan isyarat itu sebagai: "Rendahkan lampu kenderaan.Silau!" Aku silap tafsir. (Masalah di sekolah jangan ditafsir buta-buta. Sahkan!),
5. Untuk menyelesaikan masalah, kita perlu memahami keadaan. Kita mesti memahami risiko dan mengambil tindakan yang tepat. (Sekolah mesti amalkan pendekatan ini),
6. Dapatkan pertolongan jika perlu. Jangan tunggu hingga terlambat atau sehingga di luar kawalan. (Murid, guru, staf dan diri kita sendiri boleh dibantu jika kena cara/pendekatannya),
7. Kemalangan dan kematian boleh berlaku bila-bila masa. Sedarkah kita? Sediakah kita dengan risiko lanjutannya? (Masalah di sekolah adalah pakej dan jodoh kita. Sedia fizikal, mental, rohani dan hadapi),
8. Allah sentiasa menguji kita. Kesukaran itu banyak hikmatnya. Anakku Ainul kata:"Banyak dosa ni". Aku kata:"Tiap kesusahan itu ujian dan peringatan dan Allah nak hilangkan/balas dosa kita." (Kalau murid tak dengar cakap dan nasihat kita di sekolah, adakah kerana kita tak patuh suruhan Allah?),
9. Penunggang motosikal itu berkata: "Mujur tak hempap kereta, saya ingat kena. Abang mesti orang banyak sembahyang." Alahai...Terkedu juga aku sebab dia yakin dengan balasan Tuhan. Cuma "sifir" kami saja yang berbeza. Muka "cap ayam" yang banyak dosa ni tak ada sekelumit hak pun untuk menghitung tukaran ('barter trade')demikian. (Jangan hitung jasa di sekolah, teruskan usaha),
Malam hujan lebat menyaksikan aku buat pertama kalinya mengajar anak-anakku sujud syukur kerana dihindarkan dari musibah yang tidak terkira kebarangkalian buruknya.
Malam hujan lebat meninggalkan aku mencari-cari pengajaran yang boleh membantu aku menjadi pemimpin sekolah yang tak dapat digoncang keyakinannya.
No comments:
Post a Comment