MENGENALI SMKBR

SMK BUKIT RANGIN
25150 KUANTAN
Tel : 09-536 6235
Faks : 09-536 1457
Emel : cea4081.smkbr@gmail.com
Tagline : BRASS SUPERB
Slogan : Kejayaan Milik Setiap Murid
Moto: Cendekia, Etika, Terampil
Visi : Sekolah Berkualiti Melahirkan Modal Insan Yang Unggul Menjelang Tahun 2025
Misi : Mengembangkan Potensi Individu Melalui Sistem Pendidikan Berkualiti dan Holistik
SELAMAT HARI GURU 2023-GURU INSANI PEMANGKIN GENERASI MADANI

Friday 19 March 2010

Antara "Baik" dan "Memuaskan"

Dilema selepas peperiksaan awam. Dilema antara "baik" dan "memuaskan" ini tidaklah kerap berlaku. Namun, ruang "kelakuan" murid yang tercatat dalam sijil berhenti sekolah boleh menimbulkan pelbagai dilema melibatkan pelajar, guru, GPK HEM, Pengetua, PIBG dan ibu bapa/penjaga. Wajarkah dicatat "memuaskan"? Adilkah semua dicatat "baik"? Patutkah "baik" menjadi catatan nilai terendah bagi kelakuan murid?

Senario: Murid bermasalah pembelajaran kerana hilang tumpuan akibat pelbagai masalah peribadi, guru, keluarga dan persekitaran sosial. Sampai ke satu tahap, mereka hilang kawalan diri: pemarah,celupar,tidak memperdulikan peraturan dan arahan,bertingkahlaku musnah yang menimbulkan ketakutan rakan (malang) dan guru (lebih malang bagi sekolah).Usaha memulihkan keadaan murid menjadi sukar walaupun dengan bantuan ibu bapa. Kegagalan siapa? Tiada gunanya mencari kesalahan tetapi refleksi dan analisis amat perlu bagi usaha yang akan datang (perbincangan lain).

Kesan:
1. Guru merekod maklumat disiplin (ada sekolah yang mempunyai sistem 'merit-demerit' yang mantap) dan akhirnya membawa kepada keputusan GPK HEM dan/Pengetua bagi meluluskan catatan sama ada:"amat baik", "baik", "memuaskan", "sederhana" atau yang seumpamanya (barangkali tiada sekolah yang menyediakan pilihan "tidak baik", "tidak memuaskan" atau "buruk").
2. Murid tidak gembira, ibu bapa tidak puas hati, guru rasa bersalah dan PIBG dirujuk untuk membantu.(Jika demikian, saya fikir ini proses demokrasi yang amat sihat. Tiada serangan (maki-hamun) peribadi walaupun di Dewan Rakyat itu dah biasa berlaku).

Dilema 1: Patutkah guru/GPK HEM/Pengetua bertindak demikian (mencatat "memuaskan")? Jika jawapannya "patut", barangkali alasanya ialah:
1.1 Murid telah diingatkan berulang-ulang kali tentang kesalahan serta keperluan bertingkahlaku positif, perbincangan serius telah dilakukan melibatkan murid, ibu bapa, guru kaunseling dan pengurusan sekolah, amaran telah diberikan dan ... penghujungnya:tiada perubahan sikap/tingkahlaku murid,
1.2 Guru/Sekolah bersikap jujur dan tegas (berintegriti)melaksanakan tugas melapor (harapnya juga jujur dan tegas mengambil langkah memulihkan),
1.3 Sijil ini ialah dokumen sah dan rasmi yang sepatutnya memberi gambaran benar; bahkan tepat tentang diri murid. Sebagaimana nama dan nombor kad pengenalannya benar dan tepat,demikian jugalah yang lain-lainnya; hatta tandatangan di hujung sijil itu. Tiada pemalsuan, kepura-puraan atau penipuan. Tiada yang lain melainkan yang benar belaka. Jika kelakuan tidak "seindah" yang tercatat pada sijil, siapakah yang sebenarnya "tertipu" dengan catatan sekolah?
1.4 Sijil ini tinggi nilainya dan mesti terpelihara demikian kerana sijil ini ialah maruah dan identiti sekolah,
1.5 Murid mesti diajar hingga ke hujung persekolahan dan ke "luar pagar sekolah" bahawa: nilai kelakuan/akhlak mesti diambilkira di dunia dan lebih berat lagi nanti di akhirat (bagi yang beriman kepada hari akhirat),
1.6 Sekolah mesti bersedia melayan/menimbangkan/menerima permohonan maaf secara rasmi murid-murid serta menukar catatan "memuaskan" kepada yang "baik".

Jika jawapanya "tidak patut", pertimbangannya mungkin:
1.7 Murid masih mentah dan kurang mengerti, maka mereka patut diberi peluang menyedari kesalahan serta menyedari bahawa sekolah inginkan yang terbaik buat mereka walaupun kelakuan mereka kurang disenangi. Apabila memikirkan semula dan membanding kelakuan sebenar mereka dengan yang tercatat, akan timbul rasa keinsafan.
1.8 Biasanya keputusan mereka tidaklah memberangsangkan. Tidak perlu ditambah "penderitaan" ke atas mereka,
1.9 Sekolah bukan institusi menghukum tetapi mendidik,
1.10 Murid akan faham bahawa sekolah tetap memberikan harapan untuk murid membina keyakinan diri yang positif serta mendoakan kesudahan yang baik,
1.11 Adalah lebih baik/mulia melupakan dan memaafkan kesilapan sesama manusia, lebih-lebih lagi murid kita sendiri,
1.12 Sekolah tidak perlu "susah-susah" memikirkan langkah selanjutnya yang perlu/akan diambil jika timbul persoalan/permohonan/rayuan menukar catatan daripada sesiapa pun,
1.13 Sekolah tidak berniat untuk menggunakan sama sekali catatan kelakuan yang lebih rendah selain "amat baik" dan "baik",
1.14 Sekolah patut mengeluarkan/membatalkan/membuang ruang "kelakuan" dari sijil berhenti sekolah pada masa akan datang.

Dilema 2:Bagaimanakah guru tingkatan menentukan kriteria "baik" dan "memuaskan"? Ini pula barangkali disebabkan:
2.1 Sekolah tiada sistem yang jelas sebagaimana peruntukan terperinci pemarkahan kegiatan kokurikulum yang memberi wajaran A,B,C dan seterusnya. Bagi sekolah yang sedia mantap sistem merit-demerit pun ada guru (bukan semua)masih berkira-kira memberikan catatan bagi murid yang bermasalah disiplin serius,
2.2 Rasa hati pendidik yang sensitif menjadikan mereka berbelah-bahagi kalau-kalau catatan tersebut akan menjejaskan peluang/permohonan melanjutkan pelajaran. "Kalaulah budak ni anak aku, apa perasaan aku?" (dilema berganda),
2.3 Keadilan. Kalau murid kurang baik kelakuannya diberi "baik",maka murid yang baik akan sepatutnya (adil) mendapat "amat baik" dan jika murid lebih baik kelakuannya, mahu di letakkan di dalam kategori mana? Mungkin guru patut/boleh membuat catatan tambahan yang mennjelaskan tentang "sopan santun","budi bahasa", "menghormati orang", "sedia membantu", "bekerjasama", "ramah mesra", "menjadi contoh/model" dan seumpamanya.Bagi pelajar yang layak sekadar "baik"; maka tinggalkan ruang kosong tanpa catatan tambahan.
2.4 Perkataan "memuaskan" itu tidaklah negatif dan subjektif bunyinya bagi sesetengah orang.Jika seseorang melakukan sesuatu mengikut arahan yang dikehendaki, itu sudah memenuhi kehendak/"memuaskan" hati. Jika ditambah perkataan "sangat"/"amat" di pangkalnya, itu sudah lebih daripada "baik". "Memuaskan" memberi makna semacam memenuhi kehendak/keperluan/syarat/kelayakan yang diperlukan;bukanya negatif. Kerana puas hatilah maka kita katakan kelakuan itu "memuaskan".Bahkan ada guru yang mempertahankan bahawa "memuaskan" itu lebih baik daripada "baik". Yang tiada pertikaian ialah kata "sederhana" yang memberi konotasi 50-50."Memuaskan" tentunya lebih baik daripada "sederhana". Rasanya orang tak terkeliru dengan hadis Nabi s.a.w. yang menyatakan sebaik-baik pekerjaan itu yang "sederhana/pertengahan",

Hujungnya:Pengajaran/Refleksi
1. Dilema seharusnya mengajar kita menimbang dengan lebih rasional.
2. Dilema "baik" dan "memuaskan" mencabar minda kita mencari jalan memotivasikan murid agar bukan sahaja menjadi "baik" tetapi "HEBAT" (mengambil pelajaran daripada Jim Collins:"Good to GREAT",
3. PIBG mesti berperanan agar adab belajar dan amalan berakhlak mulia dipromosikan besar-besaran dan membekas ke akar umbi persatuan (ibu, bapa, guru),
4. Cantiknya jika ibu bapa membawa terus anak-anak dan meminta mereka merayu sendiri, meminta maaf serta menyatakan sokongan atas usaha sekolah mendidik murid.
5. Cantik juga jika sekolah membuka peluang dan "terbuka luas" kepada rundingan dan kesepakatan sosial dalam menangani dan mendepani tingkahlaku anak warisan bangsa.

No comments:

Post a Comment