MENGENALI SMKBR

SMK BUKIT RANGIN
25150 KUANTAN
Tel : 09-536 6235
Faks : 09-536 1457
Emel : cea4081.smkbr@gmail.com

Lokasi : Perumahan Bukit Rangin
Visi : SMK Bukit Rangin Sekolah Kluster Kecemerlangan Tahun 2016
Misi : Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara

Tuesday, 9 April 2013

Nur Ajlaa Dalam Kenangan

Ajlaa (gambar kecil) dan kenderaan yang ditumpangi pada hari kejadian sehingga menyebabkan kemalangan maut -sumbangan foto Pn. Puteri Azirah.

Saya bagaikan tidak percaya apabila menerima berita yang mengejutkan pada Ahad malam kelmarin. Nur Ajlaa bt Dzukarnain, bekas anak murid saya telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya di Kuantan Bypass. Ajlaa pergi menemui Ilahi dalam usia yang begitu muda, 19 tahun. Ya, Allah lebih sayangkan dia.... Keesokan paginya saya berpeluang menziarahi arwah Ajlaa bersama Cikgu Rahayati di rumah beliau di Sunagi Isap 2 seawal jam 7 pagi. Masuk saja ke rumahnya, saya lihat sekujur tubuh kaku menghadap ke arah kiblat. Saya perlu percaya bahawa wajah yang saya tatap sebaik sahaja kain penutup dibuka, sememangnya Ajlaa..... Tenang wajahnya, manis saja Ajlaa seolah-olah sedang tidur.....Saya lihat Ajlaa bagai tersenyum sedang darah masih lagi membasahi kepalanya yang berbalut.......

Segalanya masih jelas dalam ingatan. Ajlaa merupakan salah seorang bekas murid saya dari kelas 5 Etika tahun 2011 (pada waktu itu saya guru kelas tersebut yang murid-muridnya berjumlah 39 orang). Sebagaimana 38 orang murid 5E yang lain, Ajlaa sentiasa berada dalam ingatan saya. Ajlaa seorang murid yang sangat baik, lemah lembut, menghormati guru dan rakan-rakan, dan sangat dedikasi dalam pelajarannya. Beliau sentiasa fokus dalam pelajaran dan tidak segan silu untuk bertanya sekiranya ada yang tidak difahaminya. Kerja sekolahnya sentiasa kemas dan selesai pada waktunya. Ajlaa sentiasa berusaha untuk mendapat yang terbaik dalam SPM yang bakal didudukinya. Usaha Ajlaa tidak sia-sia apabila sentiasa menduduki tempat pertama dalam kelas 5E dan akhirnya tersenarai sebagai salah seorang murid cemerlang SPM 2011 apabila berjaya memperoleh 8A1B dalam peperiksaan tersebut. Saya sebagai guru kelas dan salah seorang guru yang mengajar beliau berasa gembira dan bangga dengan keputusan cemerlangnya itu. Ajlaa kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Gambang sehinggalah beliau ditimpa kemalangan dan pergi yang tidak akan kembali lagi.......
 
Saya tinggalkan Ajlaa dengan sebuah sedekah bacaan Yaasiin dan ciuman kasih di pipi. Ciuman yang terakhir dari seorang guru kepada seorang murid yang akan pergi menemui kekasih sejati, Allahu Rabbi....
 
Semoga keluarga Nur Ajlaa sabar dan tabah menghadapi kehilangan anggota keluarga tersayang.....
Semoga roh Nur Ajlaa aman di sana dan ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Amin.....
 
Al-Fatihah!
 
 
Tulisan:
PN. ZARINA BT AZIZ

1 comment:

  1. Semoga roh ditempatkan bersama-sama orang yang soleh...

    ReplyDelete