Sumbangan pihak luar untuk kemajuan pendidikan sekolah adalah sangat dialu-alukan. Maka pihak sekolah berasa sangat bertuah apabila Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBR berjaya mendapat persetujuan Politeknik Kuantan untuk mengusahakan projek usaha sama membina pentas di Dewan Terbuka. Projek ini dikendalikan oleh tenaga pengajar/pensyarah Politeknik sendiri yang sedang bercuti semester.
Menurut ketua pengarah projek, Puan Sabrina iaitu salah seorang pensyarah Politeknik dan juga AJK PIBG, para pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Binaan ini mempunyai lebih banyak masa terluang pada waktu cuti semester bagi membolehkan mereka mengusahakan pembinaan pentas itu dengan jayanya. Penglibatan para pensyarah ini juga bertujuan untuk memberi lebih pendedahan kepada para pensyarah yang terlibat tentang seni bina bangunan untuk diaplikasikan kepada para pelajar di Politeknik.
Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada PIBG dan Politeknik Kuantan di atas projek usahasama ini dan semoga sumbangan untuk kemajuan sekolah diteruskan pada masa-masa yang akan datang.
No comments:
Post a Comment