Sebagai tanda cinta dan kasih yang tidak terucapkan buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., maka satu program khas diadakan bagi membantah sekeras-kerasnya terhadap penyiaran filem Innocence of Muslim yang menghina Baginda s.a.w. Majlis yang disertai oleh seluruh warga murid, pekerja dan guru itu menyaksikan komitmen yang baik daripada semua pihak terutamanya murid-murid yang berjaya menyediakan poster dan sepanduk yang menunjukkan rasa cinta kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan bantahan terhadap filem tersebut. Apa yang mengujakan ialah mereka dapat menyiapkannya dalam tempoh sehari sahaja! Tahniah murid-murid! Semangat dan iltizam yang ditunjukkan seharusnya diteruskan juga dalam kehidupan sehari-hari agar dapat melahirkan modal insan yang seimbang.
Majlis dimulakan dengan bacaan Yaasiin yang diketuai oleh Encik Mohd Puzi bin Mohd Zahari |
Ucapan penyelaras program, Puan Sharifah Ruthpa'aiyah yang menerangkan tujuan program diadakan. |
Ucapan wakil murid, Muhd Naiemuddin (5 Terampil) yang melahirkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pembikinan filem Innocence of Muslim. |
Ucapan Tuan Pengetua, Tuan Haji Zaimi bin Abu Bakar yang juga menyentuh tentang peri pentingnya setiap orang Islam mencintai Rasul Junjungan. |
Sajak `Peludah Agama'
Karya Mohd Nazir bin Noh
Hari ini muncul lagi peludah agama
Nakuola Basseley
Terasa jijik menyebut namanya
Namun ini bukan kali pertama
dan mungkin bukan yang terakhir
Muhammad
Terlalu indah namanya
Purnama di pelosok alam
Biarpun telah sempurna agama
Biarpun 1433 tahun sudah berlalu
Peludah agama masih cuba meracun
dan menuba sirah hidupmu.
Mari, kita jahit semula sisa perca keimanan
menjadikannya panji terindah dan tulen
Kita kembalikan hak
dan ceritamu
ke landas fitrah
Agar ad-Din
menyinari kalbu musuhmu
Kita himpun semula ihsan dan kekuatan
Kita hamburkan nur dan keimanan
agar mampu membunuhbinasakan jiwa nista
peludah agama.
SMKBR
28/09/2012
Poster dan sepanduk bantahan terhadap filem
Innocence of Muslim
Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu nasyid Ya Rasulullah yang dipopularkan oleh kumpulan Raihan. Ya Rasulullah Alangkah indahnya hidup ini Andai dapat kutatap wajahmu Kan pasti mengalir air mataku Kerna pancaran ketenanganmu Alangkah indahnya hidup ini Andai dapat kukucup tanganmu Moga mengalir keberkatan dalam diriku Untuk mengikut jejak langkahmu Ya Rasulullah Ya Habiballah Tak pernah kutatap wajahmu Ya Rasulullah Ya Habiballah Kami rindu padamu Allahumma Solli Ala Muhammad Ya Rabbi Solli Alaihi Wasallim ( 2X ) Alangkah indahnya hidup ini Andai dapat kudakap dirimu Tiada kata yang dapat aku ucapkan Hanya tuhan saja yang tahu Kutahu cintamu kepada umat Ummati Ummati kutahu bimbangnya kau tentang kami Syafaatkan kami Alangkah indahnya hidup ini Andai dapat kutatap wajahmu Kan pasti mengalir air mataku Kerna pancaran ketenanganmu Ya Rasulullah Ya Habiballah Terimalah kami sebagai umatmu Ya Rasulullah Ya Habiballah Kurniakanlah syafaatmu |
No comments:
Post a Comment