SMK BUKIT RANGIN 25150 KUANTAN Tel : 09-536 6235 Faks : 09-536 1457 Emel : cea4081.smkbr@gmail.com
Tagline : BRASS SUPERB Slogan : Kejayaan Milik Setiap Murid Moto: Cendekia, Etika, Terampil Visi : Sekolah Berkualiti Melahirkan Modal Insan Yang Unggul Menjelang Tahun 2025 Misi : Mengembangkan Potensi Individu Melalui Sistem Pendidikan Berkualiti dan Holistik
1-3 Okt 2010. Akhirnya terlaksana juga apa yang dirancang walaupun dah tertangguh beberapa bulan (daripada bulan April). Alhamdulillah, dengan kerjasama seramai lebih kurang 45 orang guru sebagai AJK dan Fasilitator, maka tahun ini sekali lagi Badan Pengawas berkumpul di Taman Pertanian untuk bersama-sama peserta yang seramai 75 orang.
Kali ini, Badan Pengawas hanya meletakkan Pengawas Tingkatan 1, 2 dan 4 sebagai sasaran kerana tidak mahu mengganggu pengawas Tingkatan 3 dan 5 yang sedang bertungkus lumus berjuang untuk menghadapi peperiksaan. Biarlah mereka tu fokus hanya pada peperiksaan. Walau bagaimanapun, ada juga di kalangan AJK Induk Badan Pengawas yang terdiri daripada Pengawas Tingkatan 5 yang sudi datang untuk memeriahkan suasana. Terima kasih. Mereka ni sebenarnya bersemangat nak ikut serta tapi keadaan tidak mengizinkan. Semoga kalian sukses dalam PMR dan SPM yang bakal menjelang yeee....
Nadwah Kepimpinan Pengawas sebenarnya sama saja dengan Kem Kepimpinan Pengawas. Perkataan `Nadwah' tu bermaksud `Kursus' dalam Bahasa Melayu. Bersesuaian dengan namanya yang Islamik, maka pengisian kali ini agak berlainan daripada biasa, iaitu lebih banyak pengisian dari segi kepimpinan dan rohani. Kita tidak mengadakan aktiviti lasak kerana itulah kelainan program kali ini. Tetapi kita lebihkan aktiviti rohani yang jarang kali kita laksanakan dalam kalangan peserta kem kepimpinan sebelum-sebelum ini. Ada antara para peserta yang belum pernah merasa Qiamullail, maka kali ini mereka sudah terpaksa bangun sekitar jam 4.00 pagi untuk solat-solat sunat seperti Tahajud, Hajat, Taubat, Tasbih dan Witir. Program pada kali ini juga boleh dikatakan istimewa kerana modul Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dirancang dan dibentuk sendiri oleh Tuan Pengetua, Tuan Haji Abdul Rahim dengan bantuan para fasilitator-fasilitator yang ada. Ribuan terima kasih kepada Tuan Pengetua kerana komitmen 100% yang diberikan semasa kursus. Terima kasih juga kepada GPK HEM, En. Mohammad Nasri yang telah memberi kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta rakan-rakan guru yang telah menghabiskan banyak masa mengendalikan program ini walaupun dalam kesibukan menanda kertas peperiksaan Percubaan SPM. Terima kasih! Syukran! Thank you so and very much!
Ada juga fasilitator yang mengatakan bahawa program kali ini sangat relaks dan tidak meletihkan. Sememangnya program kali ini dirancang sedemikian rupa agar tidak sama dengan program yang pernah diadakan sebelum ini. Lagipun tujuan program itu diadakan untuk mengumpul para peserta pada satu masa di luar kawasan dan jauh daripada suasana sekolah. Peserta ingin diberi kesedaran tentang teamwork dan jati diri sebagai pemimpin pelajar, tentang tanggungjawab mereka yang mereka pegang. Maka disebabkan itulah program ini dirancang sebegini; penglibatan peserta dan fasilitator dalam kursus yang tidak meletihkan tetapi lebih dari segi pengisian. Sebab itulah peserta-peserta yang disasarkan ditegaskan untuk hadir mengikuti setiap program yang dianjurkan supaya mendapat pengalaman dan pengisian yang berbeza-beza, bukannya stereo-type!
Diharapkan para peserta tidak lupa akan apa yang dipelajari ketika Nadwah. Hayati dan amalkan apa yang telah dikutip sepanjang mengikuti program tempoh hari. Jangan jadi pokok yang rendang tapi tidak berbuah tetapi jadilah seperti pokok kelapa yang banyak gunanya.
Jumpa lagi di program yang akan datang!!!
Lagu tema Nadwah Kepimpinan Pengawas 2010, `Insya Allah' nyanyian Maher Zain.
20 September 2010. Demam peperiksaan bermula lagi. Mungkin kali ini lebih hebat dan lebih berat kerana ianya SPM. Satu peperiksaan yang bakal memberi kesan kepada ramai calon. Ia seperti satu titik permulaan (turning point) atau perubahan dalam hidup kerana peperiksaan ini akan menentukan sama ada anda akan terus bersekolah di Tingkatan 6 ataupun melangkah ke institusi yang lebih tinggi ataupun bekerja ataupun `bersara' terus .
Hari ini, peperiksaan percubaan SPM bermula dengan Kertas Bahasa Melayu 1 & 2, kertas teras yang maha penting dan paling memberi kesan kepada sijil dan masa depan. Gagal kertas tersebut bermakna gagal keseluruhan peperiksaan itu. Gagal subjek Bahasa Melayu bermakna sukarlah langkah seterusnya. Impian ke menara gading akan hancur. Kerja mungkin sukar kerana sijil tak laku. Nak tak nak terpaksa ambil kertas Julai pulak untuk baiki keputusan. Pendek kata, begitulah besarnya peranan Bahasa Melayu bagi calon SPM.
Kepada calon-calon semua, buatlah yang terbaik dan usahakan untuk lulus cemerlang dalam Bahasa Melayu atau sekurang-kurangnya kredit supaya anda tidak menghadapi masalah di kemudian hari. Kalau lulus saja pun (tidak kredit), kemungkinan anda tidak akan dinaikkan pangkat apabila bekerja kelak. Begitu juga dengan subjek Bahasa Inggeris, juga tak kurang pentingnya. Kalau tak lulus atau tak kredit, rasa-rasanya tidak ada universiti yang akan menerima permohonan anda. Sesuailah dengan labelnya sebagai bahasa antarabangsa, maka sektor pekerjaan di luar sana pun sangat mementingkan kemahiran ini. Fikir-fikirkanlah!!!
Selamat menghadapi peperiksaan kepada semua murid Tingkatan 5 SMK Bukit Rangin. Teruskan usaha sehingga ke titisan peluh yang terakhir. Jangan cepat berpuas hati dengan apa yang telah anda buat. Ingat... Allah akan balas atas apa yang telah kita lakukan!
3 September 2010. Dewan Bitara. Seramai 20 orang murid laki-laki memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an daripada Juz `Ammaa yang diketuai oleh Ketua Murid, Saudara Ahmad Razin bin Ruzaini. Majlis ini diadakan sebagai menandakan kesyukuran tamatnya bacaan al-Qur'an secara bertadarus sempena bulan Ramadhan yang mulia. Panitia Pendidikan Islam juga membuat inisiatif untuk menayangkan ayat-ayat suci yang dibaca bersama maknanya sekali bagi membolehkan para hadirin bersama-sama membaca dan menghayati bacaan. Para peserta kemudiaannya diberi sedikit hadiah penghargaan yang disampaikan oleh Tuan Pengetua, Tuan Haji Abdul Rahim bin Mohd Yunus.
25 Ogos 2010. Peperiksaan bermula pada 20 Ogos dengan kertas Bahasa Arab bagi Kelas Cendekia dan berakhir pada 26 Ogos. Calon-calon diasimilasikan dengan suasana peperiksaan sebenar dan mereka ditegaskan untuk sentiasa membawa keperluan-keperluan peperiksaan terutamanya Kad Pengenalan dan Slip Peperiksaan selain daripada alat tulis yang dibenarkan dibawa di dalam plastik lut sinar, bukan bekas pensil sepertimana kebiasaan.
23 Ogos 2010. Sumbangan disampaikan oleh Unit Kebajikan dan pihak Pentadbiran SMK Bukit Rangin kepada keluarga termiskin dalam kalangan murid-murid. Semua keluarga tersebut berada di sekitar Permatang Badak dan Bukit Rangin. Terima kasih kepada panyumbang yang berhati mulia, semoga rezeki anda makin bertambah dan diberkati Allah S.W.T.