MENGENALI SMKBR

SMK BUKIT RANGIN
25150 KUANTAN
Tel : 09-536 6235
Faks : 09-536 1457
Emel : cea4081.smkbr@gmail.com
Tagline : BRASS SUPERB
Slogan : Kejayaan Milik Setiap Murid
Moto: Cendekia, Etika, Terampil
Visi : Sekolah Berkualiti Melahirkan Modal Insan Yang Unggul Menjelang Tahun 2025
Misi : Mengembangkan Potensi Individu Melalui Sistem Pendidikan Berkualiti dan Holistik
SELAMAT HARI GURU 2023-GURU INSANI PEMANGKIN GENERASI MADANI

Wednesday 11 November 2009

Warkah Untuk Anak-anak Tingkatan 5 yang Bakal Meninggalkan Sekolah


Untuk kesekian kalinya kami berpeluang berpesan. Pesan ini seperti pesan-pesan sebelumnya adalah senada seirama. Cuma amat istimewa kali ini lantaran anak-anak bakal meninggalkan sekolah setelah menghabiskan sisa-sisa alam persekolahan. Mungkin kami tidak lagi berpeluang menasihatimu selepas ini.


Anak-anak,  
Kembaramu ke sini dahulu membawa harapan bukan sahaja untuk dirimu tetapi juga harapan ibu bapa. Maka jangan kau lupa ibu bapamu yang hanya mengharap kepada kejayaanmu. Malang akan menimpamu jika melupakan mereka. Malah malang akan bertimpa-timpa jika nanti kau kurang menyerlah dalam kejayaan memburu ilmu serta melupakan pula ibu bapa.


Anak-anak,
Saban tahun kami bagaikan pengendali perahu di tambatan dan pangkalan ini menerimamu dari tangan ibu bapamu. Kami membawamu menongkah arus dan gelombang, merendah badai dan cabaran menuntut ilmu. Kami akan  menghantarmu ke pangkalan yang seterusnya.


Jika ada kekurangan kami yang mengguris hatimu, kamilah manusia yang tidak sunyi daripada kesilapan dan marah kami adalah taruhan kepada keinginan melihatmu berjaya. Gesaan dan ketidaksabaran kami adalah hambatan waktu yang kian rapat memburu; bimbang kalau-kalau kau terlena, terleka di jalan ilmu ini. Tercicir dan gagal adalah korban yang tidak ingin kami lihat. Fahamilah ayat-ayat cinta kami yang setiap hari bercerita atas kecintaan kepada profesion dan tugas yang menjadi tanggungjawab yang kian memberat dan sering dipersoalankan di dunia ini lagi. Di akhirat, jika kami mengkhianati ikrar dan janji mendidik dan memimpin putera puteri yang dititip sebagai amanah, soalan dan dakwaannya bakal lebih dahsyat.


Jikapun ada penghargaan dan terima kasih darimu, berikanlah dalam rupa dan bentuk kejayaan yang menjadi penyambung lidah kami untuk membela nasib anak-anak bangsa akan datang.


Anak-anak sekalian,
Dapatkah apa yang kau hajati dalam kembara ini? Cukupkah bekalanmu menghadapi peperiksaan penting yang bakal menyaksikan sama ada kau terus belajar atau keluar beradu nasib mencari pekerjaan?


Kami tetap mendoakan kejayaan dan kesihatanmu menghadapi masa dan suasana yang sukar. Berat mata kami memandang, berat lagi bahumu yang menggalas bebanan.Cuma ingatlah bahawa beban ini bukan kamu sahaja yang menggalasnya tetapi juga semua orang yang terdahulu dan yang akan datang.


Apapun yang akan berlaku selepas itu adalah pilihanmu. Ramai orang memilih tetapi adakah jaminan bahawa pilihan itu tepat? Kami bekalkan untukmu pelajaran dan didikan  yang akan membantumu membuat pilihan. Pilihlah jika kau telah melihat semua jalan dengan terang.


Juga dengan usaha dan tawakal pilihlah jalanmu. Jalanmu itu nanti bakal membawamu membina diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Jangan kau khianati amanah ini. Anak cucu kami bakal bernaung di bawah payung yang kau sediakan. Pastikan paying itu tak bocor dan kejap dalam genggamanmu. Bawalah generasi akan datang dengan yakin membina mercu tanda bangsa berdaulat.


Tetapkanlah pendirianmu menjadi manusia yang bukan sahaja baik, tetapi hebat akhlak dan sahsiah. Kami bakal menyerahkan negara ini untuk kaucorakkan. Tak mungkin kau mampu mencorakkannya dengan cantik mungkin jika dirimu sendiri tidak terdidik dengan sifat-sifat mulia.


Kalau nak tahu batang tebu
Batang tebu halus uratnya
Kalau nak tahu orang berilmu
Orang berilmu halus perangainya


Kata baginda Saidina Ali, ilmu itu bakal menjagamu, sedangkan harta kamu akan terbeban menjaganya. Ilmu itu tak dapat orang mencurinya,  sedangkan harta itu bisa penjangak merampasnya..


Membilang bermula satu
Bertemu memberi salam
Dilipat sebesar kuku
Dibentang seluas alam


Itulah sifat dan nilai ilmu yang menjadi bekalmu dalam perjalanan seterusnya.


Berbekal jugalah wahai anak-anak dengan sebaik-baik bekalan iaitu takwa. Dijelaskan lagi oleh Saidina Ali bahawa takwa itu syaratnya takut kepada Allah, mematuhi tanzil iaitu al-Quran, berasa cukup dengan yang sedikit dan menyediakan bekal untuk musafir yang jauh.


Tanya olehmu adakah kau  mampu mengecapi kecemerlangan dunia dan akhirat? Kita sememangnya khalifah di bumi tetapi tetap memiliki kewarganegaraan akhirat. Sampai masa berangkat, tiada lagi jalan kembali maupun berpatah balik mengutip bekalan tambahan. Kita semua bakal yatim dan dagang mengharap belas ihsan Allah.


Pesan ke hujung nyawa, kehujung jalan, ke hujung kembara manusia telah kami titipkan. Ingat, ingat dan ingatlah.



10 November 2009