MENGENALI SMKBR

SMK BUKIT RANGIN
25150 KUANTAN
Tel : 09-536 6235
Faks : 09-536 1457
Emel : cea4081.smkbr@gmail.com
Tagline : BRASS SUPERB
Slogan : Kejayaan Milik Setiap Murid
Moto: Cendekia, Etika, Terampil
Visi : Sekolah Berkualiti Melahirkan Modal Insan Yang Unggul Menjelang Tahun 2025
Misi : Mengembangkan Potensi Individu Melalui Sistem Pendidikan Berkualiti dan Holistik
SELAMAT HARI GURU 2023-GURU INSANI PEMANGKIN GENERASI MADANI

Friday 1 January 2010

SMK Bukit Rangin Dalam 1 Dekad

SMK Bukit Rangin  merupakan sebuah sekolah harian biasa. Namun dalam usia setahun jagung, dengan komitmen semua pihak telah membolehkan SMK Bukit Rangin berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sekolah-sekolah lain yang telah ternama. Terletak lebih kurang 10 kilometer dari Bandar Kuantan, SMK Bukit Rangin terserlah keunikannya yang tersendiri apabila panaroma semulajadinya dihiasi dengan bukit dan tasik.

Sejarah Sekolah
SMK Bukit Rangin mula dibuka pada 1 Januari 2001 dan menumpang di SK Bukit Rangin yang terletak di lebuh pintas Kuantan-Terengganu. Bilangan murid pada ketika itu hanyalah seramai 340 orang dengan 24 orang tenaga pengajar dan 3 orang staf sokongan. Pada 1Januari 2002, SMK Bukit Rangin, secara rasminya telah menduduki bangunan sendiri yang baru siap dibina. Bangunan sekolah seperti yang ada sekarang terletak dalam kawasan perumahan Bukit Rangin.

Antara cabaran awal yang ditempuh ialah banjir besar tahun 2001 yang telah menenggelamkan sebahagian besar Perkampungan Sungai Isap dan kawasan berdekatan termasuklah SMK Bukit Rangin.

Sejak penubuhannya pada tahun 2001 sehinggalah ke hari ini, SMK Bukit Rangin telah melaksanakan misinya secara beransur-ansur tetapi penuh strategik bagi mencapai visi yang ditetapkan iaitu ‘SMK Bukit Rangin Cemerlang 2010’. Kejayaan sebagai Johan dalam pertandingan 3K bagi kategori Kesihatan dan Kebersihan pada tahun 2005 dan penyertaan pada peringkat Kebangsaan pada tahun yang sama telah menyemarakkan semangat warganya mengorak langkah untuk melakar kejayaan demi kejayaan.

Keceriaan
Bertitik tolak daripada pertandingan 3K, beberapa perubahan fizikal telah berlaku di persekitaran sekolah. Warna ungu telah dipilih sebagai warna tema sekaligus menjadi lambang keunikan sekolah. Banyak elemen seni yang berlatarbelakangkan warna ungu diterapkan di persekitaran bangunan sekolah. Mural-mural yang dilakarkan pula lebih banyak menampilkan unsur artistik dan kontemporari selaras dengan dunia alaf baru. Taman-taman juga dibina hasil komitmen padu guru dan murid bagi mencipta suasana persekitaran yang kondusif dan nyaman.

Arca The Five Pillars merupakan satu lagi keunikan SMK Bukit Rangin. Arca ini turut menjadi mercu tanda yang melambangkan keperibadian warganya. Setiap arca ini mewakili akronim SMKBR iaitu Sincere (Jujur), Moderate (Sederhana), Knowledgeable (Ilmuan), Brilliant (Pintar), dan Resilient (Tangkas).

Bangunan
Pertambahan bilangan murid dan warga kerja sekolah turut mempengaruhi perubahan dan pertambahan bangunan sekolah. Justeru saiz Dataran Saujana yang telah ditambah keluasannya untuk menampung jumlah yang lebih ramai. Usaha ini telah membolehkan perhimpunan pada setiap pagi Isnin diadakan dalam keadaan yang lebih selesa. Pembinaan dewan besar sekolah yang kini dikenali dengan nama Dewan Bitara yang siap pembinaannya pada tahun 2008 turut menampung keperluan prasarana yang sedia ada. Selain itu, Bilik Mesyuarat juga telah diperbesarkan bagi menampung jumlah tenaga pengajar dan staf yang semakin meningkat. Surau dan Ruang Terbuka juga kini telah dilengkapi dengan kipas.

Program Sekolah untuk Murid
Dari sudut pembangunan murid, pelbagai program telah dilaksanakan mencakupi bidang akademik, kokurikulum dan bina insan. Menyedari hakikat bahawa disiplin penjana kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan, pemantapan disiplin murid tidak pernah diabaikan.

Falsafah Sekolah
Selaras dengan falsafah sekolah, maka usaha yang menyeluruh dan berterusan dilaksanakan dengan harapan agar murid dapat digilap menjadi insan yang cendekia, beretika, dan berketerampilan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang dapat memberikan sumbangan ke arah kesejahteraan ummah dan negara.

Pencapaian Murid
Ibarat pepatah Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Bakti yang disemai selama ini dapat dituai hasilnya. Banyak kejayaan yang telah dicapai oleh murid hasil komitmen jitu guru, ibu bapa dan murid itu sendiri. Dari sudut akademik, sekolah telah berjaya membuktikan kejayaan dalam peperiksaan-peperiksaan awam seperti  PMR dengan mengekalkan kedudukan 10 sekolah terbaik daerah Kuantan. Kejayaan ini telah melayakkan SMK Bukit Rangin untuk menjadi pesaing terdekat bagi beberapa sekolah premier seperti SMK Perempuan Methodist dan SMK Afzan Kuantan. Dari segi kokurikulum pula, antara rentetan kejayaan yang dicapai ialah Johan pertandingan Spell-It-Right peringkat Negeri dan Naib Johan peringkat Kebangsaan. Pada tahun 2009, SMKBR telah memenangi Johan Marhaban peringkat negeri Pahang serta Naib Johan Astro, Johan Nasyid Kontemporari peringkat Daerah dan Negeri seta tempat ke-3 peringkat Kebangsaan dan Johan Menembak Sport EXCELL/MILO. Seterusnya SMKBR juga telah memenangi  Johan Sofbol kategori Lelaki 18 peringkat Negeri, ke-3 Kebangsaan serta tempat ke-4 Antarabangsa. Terkini  SMKBR telah memenangi Johan pertandingan Top Host Junior Challenge anjuran Kolej-Univerisiti Shahputra.

Anugerah Kecemerlangan
Sepanjang 10 tahun pembukaannya, SMK Bukit Rangin turut menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Luar Bandar pada tahun 2008. Anugerah Khas Menteri Besar Pahang ini merupakan anugerah paling bererti seterusnya merealisasikan visi sekolah dua tahun lebih awal.  Paparan kejayaan membuktikan kesepakatan warganya warganya yang bertepatan dengan misi sekolah iaitu ‘Menjana dinamisme Kurikulum, Bina Insan dan Kokurikulum, dengan komitmen yang jitu selaras dengan aspirasi Negara melalui Sistem Pengurusan yang berkesan, budaya kerja bermatlamat serta Permuafakatan yang erat’.

Lawatan Penanda Aras
Dari semasa ke semasa, SMKBR telah menerima kunjungan dan lawatan penanda aras dari pelbagai pihak yang bertujuan melihat sendiri bukti kejayaan yang telah diwar-warkan. Antaranya kunjungan daripada SMK Sungai Isap, SMK Sungai Soi, SMK Panching, SMK Seri Damai, Pejabat Pelajaran Daerah Bera, dan Jabatan Pelajaran Melaka.

Penutup
1 dekad telah berlalu. Kejayaan demi kejayaan telah meletakkan SMK Bukit Rangin di bawah Sekolah Kawalan 2 Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan dan dari segi pencapaian akademik, SMKBR telah melepasi target PPD Kuantan.

Pasukan kerja yang mantap, komited dan kemudahan fizikal yang hampir setaraf dengan Sekolah Rancangan Khas yang sedia ada menjadikan SMK Bukit Rangin sekolah harian pilihan utama. Imej positif, sokongan PIBG dan pemimpin setempat melalui permuafakatan menjadi aset penting SMKBR. Kejayaan-kejayaan yang diraih akan dijadikan sandaran agar tidak dibuai kealpaan sebaliknya akan dijadikan pemangkin untuk menggapai kegemilangan dunia pendidikan amnya.
 
Di sini bermulanya cita-cita!


Skrip asal : Pn Zarina Aziz
Suntingan : Pn Wan Shukriah Wan Mohamad
Suara latar : Cik Nur Liyana Hapiz
 

No comments:

Post a Comment