Kata Cikgu Zarina, “… kena tulis dalam blog.” Sedang aku bagaikan separuh percaya dengan surat yang ditunjukkan Hajjah Haniliza sehari sebelumnya. Masanya sampai juga walau hati meminta ditangguh. Nampaknya jodohku bersama SMKBR akan berakhir.
Bukan aku tak pernah bertukar sekolah. Namun setiap kali menghadapi kenyataan takdir sebegini, perasaan tetap berkocak. Aku sering menyebut bahawa jika kita berkorban, rasa sayang akan timbul di mana saja kita berada. Guru yang tak sanggup memberi sepenuh hati takkan ada hati di tempat bertugas.
Seorang murid SMKBR pernah bertanya melalui sms tentang “smksb” (SMK Seri Bentong) yang masih aku gunakan dalam alamat e-mel. Aku membalas, “Kekasih lama mesti kenang”. SMKBR kekasih baru yang mesti diberi perhatian sepenuh hati. Allahyarhamah Saloma, Biduan Negara kita pernah menyanyikan bait-bait penuh syahdu:
“Kalau pinag masih muda, Rasanya kelat sudahlah pasti, Kalau hilang kekasih lama, Cari lain untuk ganti, mengapa dinanti.
Kasih yang dulu simpan dalam mimpi, Kasih baru simpan di hati.”
Kekasih ini juga akan terpaksa ditinggalkan. Boleh jenguk. Boleh tengok dari jauh. Bukan milik lagi. Untuk kusimpan dalam mimpi. Sebahagian mimpi itu ada dalam visi baru yang kami sama-sama bina tahun ini. Gurunya bakal menghayati tanggungjawab besar dari segi agama dengan mendidik mereka seperti anak-anak sendiri. Muridnya bakal menghayati nilai agama dan budaya tinggi. Aku juga mengharapkan satu hari nanti SMKBR akan menjadi Sekolah Rancangan Khas. GPS SPMnya bakal kurang daripada 4 pointer, PMRnya 1 pointer.
Masa 2 tahun 4 bulan amat singkat. Namun kami dah cuba yang terdaya untuk memberi fokus kepada murid dengan membaiki disiplin, mengurangkan ponteng serta menjaga kebajikan. Pada masa yang sama, strategi disusun untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti pencapaian akademik. Aku cuba membina pasukan pengurusan yang serius dari segi professional dan merendah diri pada masa yang sama. Elemen PrOD yang aku bawa di SMKBR mula menampakkan hasil. Berbeza dengan SMK Seri Bentong, tiada label PrOD di sini. Aku cuba membudayakan keputusan dan penyelesaian masalah yang berasaskan realiti dan data. Kami cuba stabilkan imej Sekolah Kawalan 2. Kami mahu mencabar rekod sendiri dan membina imej yang bukan menjadi pesaing tetapi rakan yang membantu jika perlu. Kami masih banyak belajar dari sekolah yang cemerlang dan mencuba juga resipi sendiri. Program dan aktiviti untuk murid sehingga Jun 2011 sahaja sudah hampir menyamai semua yang diusahakan 2010.
Aku berasa keseronokan bertugas dalam giar 4 yang menghampiri 5. Ingin benar aku melihat hasil murid yang kami cuba menangi hati mereka dalam setahun dua yang lalu. Walaupu cabaran dan dugaan datang sesekali menggugat, kami cuba atasi dengan rasional dan berhemah. Ada kalanya stamina kami berkurang berbanding cabaran yang bertalu-talu, namun kami punyai personel yang dapat diharapkan. Aku belum sempat berterima kasih sepenuhnya kepada semua rakan dan sahabat di SMKBR ini.
Aku rasa bangga dan terharu apabila melihat individu tertentu mampu bekerja dan berkorban melebihi apa yang termaktub dalam tugas rasmi, mempamerkan sikap professional dan hemah tinggi sebagai kakitangan kerajaan yang berkhidmat dengan rendah hati sebagai penjawat awam yang bertugas untuk rakyat. Kami bukan wakil rakyat yang dilantik melalui pilihanraya, tetapi kami mahu menjadi pilihan di hati rakyat yang dikhidmati. Jika ada servis kami yang melebihi jangkaan pelanggan, kami rasa berpuas hati kerana berjaya membuktikan bahawa tidak sia-sia kerajaan melantik kami dan memberi pelbagai kemudahan. Kami ingin dikenali sebagai pegawai yang profesional dan bertanggungjawab.
Petang tadi aku merakam gambar pokok hiasan yang aku harapkan akan cantik sempurna pada hujung tahun ini. Pelik.Lazimnya di mana-mana sekolah yang akan aku tinggalkan, keadaan sekeliling akan kelihatan lebih indah. Cuma indahnya meruntun sayu. Jika dilayan renungan dan imbasan, rasa sedih akan bertamu. Aku fikir itu berpunca dari hasrat hati yang mahu melihat lebih daripada apa yang telah terdaya dilakukan. Rasa tak berdaya. Rasa banyak lagi yang boleh dan patut dilakukan.
Aku masih memikirkan contengan baru di tandas dan blok KH yang kumaklumkan kepada En. Nasri, program bersama Kaunselor Tn. Hj. Azhar dan Tn. Hj Aziz, Setiausaha Masjid Bukit Rangin. Pembentangan kurikulum tak dapat kuselesaikan seperti yang kami kehendaki serta pembentangan SKT Akademik SMKBR yang kujanjikan bersama Hajah Haniliza pada Isnin depan. Aku berkira-kira untuk berjumpa kumpulan murid lelaki, Tingkatan 3,5,2 dan 4. Aku masih fikirkan dapat memenangi hati lebih ramai murid untuk mendorong mereka ke sekolah; tanpa ponteng.
Kerja memang tak pernah habis kerana aku ada kerja. Kerja ini aku yang minta, Allah yang memberi, maka semestinya akan tetap ada. Mati nanti barulah kerja dunia ni tamat. The final curtain.
Terima kasih Cikgu Zarina. InsyaAllah sambung...
xboleh ke tuan haji xpindah . saye bekas spm 2009 amat gembira semsa tuan berkhidmat di sana. wlupon saye tdak lagi bersekolah disitu tetapi saye masih teras jiwa saye berada disana , secara tak langsung pemergian tuan haji amatlah dirasai ,(berharap tuan haji xpindah )
ReplyDeleteSehingga hari ini kalau boleh saya x nak pindah. Saya belum puas berusaha di sini. Cuma janji "kami yang menurut perintah" x dapat dimungkiri. Kalau ada surat yg mbatalkan barulah berubah keputusan.
ReplyDeleteTerima kasih Afnan sebab saya kagumi sikap anak2 SMKBR yang sentiasa hatinya di sekolah. Ramai yg datang semula berjumpa dan membantu program sekolah. Kehebatan ini mesti dikekalkan. Saya tumpang bangga menjadi pengetua yang melihat anak2 didik berterimakasih kepada sekolah. Moga Allah berkati setiap langkah kalian.