Hari ini En. Mohamad Noor, pengusaha kantin SMKBR berkali-kali cuba menghubungi aku. Dia kucari di bazar Ramadan nombor 21 berhampiran Masjid Negeri. Renungannya agak berbeza apabila kami berjabat tangan. Bekas komando polis ini sering kupanggil “Che Noor” atau “bos”. Selepas 2 tahun berjumpa hampir setiap hari persekolahan, aku mula berhubung dengannya dengan ‘body language’ sahaja. Persefahaman kami tinggi.
“Sampai hati tak beritahu tuan tukar. Saya dapat tahu dari orang lain”. Aku pernah larang dia memanggilku “tuan” tapi dia tak berganjak. Anak Raub keturunan Mat Kilau ini memangnya begitu. “Kenapa pulak tukar?” Soalan itu tak berjawab tetapi aku meminta maaf kerana sukar memberitahu orang yang rapat tentang pertukaranku ke SHAKS.
Tahun 2009 ialah tahun yang paling mencabar dalam kami menangani masalah disiplin. Murid lompat pagar pada Hari Guru dirakam aksinya oleh jurugambar (cari makan) Kosmo! (geram juga apabila tahun 2011 gambar yang sama keluar dalam Utusan Malaysia dengan catatan “baru-baru ini di Kuantan”).
Tahun 2009 jugalah beberapa insiden murid bertindak agresif melawan, mencabar dan mengutuk guru. Mercun dibakar dalam kawasan sekolah oleh murid juga menjadi perkara yang boleh dijangkakan. Letusan mercun di tempat parkir motosikal, di koridor dan belakang blok tak perlu tunggu Tahun Baru Cina atau Hari Raya. Melepak dan ponteng di Dewan Orang Ramai Bukit Rangin juga perkara biasa dan jadi dos harian kami guru disiplin. Baling tepung dan air dalam plastik atau belon? Sakit mata dan hati.
Diam-diam aku bertekad “memerangi” semua itu.Che Noor turut membantu kerana sesekali aku bawa “potensi-potensi samseng” untuk “dibasuh”. Aku menghargai bantuannya yang turut “mengajar”. Dia juga sedia membantu murid yatim dan miskin untuk menikmati hidangan waktu rehat dengan percuma atau dengan bayaran yang amat minimum.
Aku pernah mewar-warkan tawaran meminta bantuan ahli komuniti setempat yang “gedebe”, “samseng” atau kaki pukul yang menghormati institusi sekolah serta guru agar “menangani” atau “mengajar” murid-murid yang “bermusuh” dengan guru. ‘Fighting fire with fire’ kadang-kadang berkesan. Sony Chiba, pelakon Jepun yang terkenal dengan watak ninja pernah berkata, “Only a ninja can kill a ninja!”
Aku juga bertekad mengajar murid-murid kelasku yang “malas tahap Gaban”, enggan memberi respon positif kepada nasihat dan suka tidur dalam kelas dengan membawa mereka berjumpa pekerja swasta (pembersihan) dan pengawal keselamatan (jaga). Aku terangkan dengan jelas bahawa kami perlukan bantuan untuk menasihat "anak-anak" itu.
Ada kebimbangan yang mereka (pekerja) enggan dan rasa direndahkan tetapi maklumbalas mereka positif. Kami berkongsi amanah dan tanggungjawab atas umat. Bahkan aku menuntut murid mengagumi mereka kerana usaha halal dan mulia di sisi agama.
Aku dapati motivasi begini berkesan kerana biasanya dalam dua tiga ayat sahaja mereka mampu menyampaikan mesej yang impaknya jelas. “Kalau awak malas belajar, esok kerja macam mak ciklah; menyapu sampah” atau “Orang kerja 8 jam, aku kerja 12 jam. Engkau larat kerja macam aku? Gaji aku …” ialah antara mesej ‘brutal truth’ yang memeranjatkan murid yang terlibat. Tiada skrip. Tiada pertemuan yang dirancang atau diraptai. ‘Straight and raw!’
Perhimpunan mingguan Isnin juga menjadi medan bagiku melancarkan perang psikologi atau “menjual” idea dan mendapatkan sokongan terhadap guru dan perlakuan positif yang menandakan budaya tinggi. Aku juga mengendalikan sesi perjumpaan dengan kumpulan sasaran; khususnya Tingkatan 3 dan 5 yang perlu disalurkan fokus mereka kepada cabaran peperiksaan awam.
Selepas lebih setahun, ‘hardcore’ yang menimbulkan masalah disiplin tidak lagi mampu merekrut ahli baru. Kami rasa sedikit aman walaupun tak pernah berasa selesa. Aku biasanya menawarkan 2 pilihan: Hormati guru atau keluar dengan hormat. “Skrip” contoh aku yang standard serta ‘killer questions’ yang aku kemukakan dalam dengan nada rendah (memujuk) tetapi serius agar setiap satunya dijawab:
1. “Cikgu kita macam ibu bapa yang hanya nakkan perkara yang baik untuk kita. Kalau kita tak dengar kata mereka di sekolah, tak ada siapa lagi yang nak tolong kita di sini.”
2. “Mari kita cakap lelaki sama lelaki. Ada makwe? Nanti nak kawin tak? Nak dapat anak kan? Macam mana nak jaga anak dara orang dan didik anak jika diri sendiri pun awak tak boleh jaga?”
3. “Awak tak suka cikgu tegur? Awak nak cikgu buat tak peduli? Ikut sukalah apa awak nak buat? Ini sekolah, kami cikgu. Awak rasa awak akan pandai kalau cikgu buat begitu?”
4. “Cikgu bukan musuh kita. Sekolah bukan penjara. Kalau awak tak dapat nak hormati guru kita, awak tak boleh belajar dengan mereka. Tak apa.Saya sedia bincang dengan ibu bapa awak supaya awak boleh cari cikgu yang awak boleh hormat. Cari sekolah yang awak boleh belajar. Sekolah mana? Saya boleh ‘call’ mereka sekarang.”
5. “Kalau awak nak bermusuh dengan cikgu saya, saya minta maaf. Kita jangan berkelahi. Saya tak boleh jadi pengetua awak. Mereka tak boleh jadi cikgu awak. Jodoh kita sebagai guru dan murid sampai di sini saja. Antara kita ada yang kena keluar dari sini. Saya atau awak?”
Semua itu dan beberapa eleman dramatik lain sentiasa aku gunakan bersama dengan ahli pasukan penyelesai masalah (‘trouble shooters’) iaitu En. Nasri (GPK HEM), Penyelaras Disiplin dan Guru-Guru Bimbingan dan Kaunseling.
Resipiku yang nyata ialah: Jika mereka memahami siapa mereka dan memahami kita, sebahagian masalah disiplin telah selesai. Bukan semua, sebab elemen persekitaran luar mereka seperti pengaruh sosial serta kekeluargaan turut mempengaruhi. Aku pernah mencatat pendekatan mendisiplinkan murid SMKBR berdasarkan karya Sun Tzu, “The Art of War” menggunakan “strategi menyerang” dalam ‘blog post’ bertajuk “War On The Undisciplined”.
Resipiku lagi: Urusan utama kami ialah P&P dalam kelas dan asasnya ialah disiplin dan akhlak terpuji.
Tahun 2011, kami tak perlu bantuan ala-ninja untuk menghadapi ninja. Kami tak perlu lagi mengiring murid dalam barisan sambil bersalam hingga ke pagar bagi memastikan tiada mercun diletuskan dalam kawasan sekolah. Kami tak perlu mengepung dan mencari murid di Dewan Orang Ramai pada pagi-pagi hari. Tiada lagi murid membazir tepung dan air yang amat berharga di Somalia dan Habsyah.
Tapi kami ada masalah-masalah dan cabaran baru bersama datangnya tahun 2011. Ada kalanya kami gagal selesaikan. Ada yang tak dapat dicegah. Ada yang jadi bubur. Tapi kami hadapi semuanya. Nash berdendang dalam "Pada Syurga Di Wajahmu": "Tuhan sengaja menduga kita, di mana kesabaran manusia..."
Aku masih belum menyelesaikan tugas di Bukit Rangin walaupun masanya dah tiba untuk beralih medan. Aku berdoa agar dapat berjumpa dengan watak pejuang seperti Che Noor dan pembantu yang lain di sana. Aku berdoa agar Allah menguatkan aliran darah pejuang keturunan sepupu Tok Gajah ini untuk menunaikan amanah menghadapi hari esok dan seterusnya hingga tiba ketentuanNya.
No comments:
Post a Comment