Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, banyak perkara berlaku yang menimbulkan persoalan:Setakat manakah cukup? Setakat manakah cukup peringatan, makluman, kejadian dan pengalaman yang dapat menyedarkan kita warga pendidik?
'Experience is the best teacher', demikian kata hikmat Inggeris yang kami belajar dalam kelas dulu. Masalahnya ialah berapa kali kita "sudah terhantuk baru tengadah", seperti ujar perumpamaan Melayu? Sebab itulah kita patut juga memikirkan coretan seorang penulis yang menegaskan: "Manusia belajar dari kesilapan, tetapi saya belajar dari kesilapan orang lain." Kita patut banyak belajar dari kesilapan dan pengalaman orang lain di sekeliling kita. Taklah banyak sangat silapnya.
Amat ideal bunyinya; asal saja kita membuat refleksi kesalahan/kesilapan/pengalaman orang, kita akan jadi bijak dan kurang melakukan kesilapan. Maka, manusia yang selalu menonton filem, drama, berita, cerita, bergaul bersama orang ramai, dengar hadis, baca dan faham ayat al-Quran akan kuranglah silap mereka. Saya fikir: BELUM TENTU!
Kita sering mengulang kesilapan. Bila dan bagaimanakah keadaannya? Apabila letih, lapar, marah, kurang tidur, tertekan, keliru, malas, kaya-raya, melarat,terdesak,terlalu seronok, didorong nafsu, dipengaruhi manusia, jin, Iblis dan segala macam hal/keadaan, silap juga! Silap itu pula grednya boleh jadi biasa atau berdosa. Soal hukum taklifi: Wajib, Sunat,Haram,Makruh dan Harus jadi perkiraan orang Islam dalam semua perbuatan. Dalam berkira dan berhukum itu pun kita masih lagi boleh silap dan terjerumus.
Setakat manakah cukup kita tahu/dengar/tonton/baca hal orang kita yang putus jari, hancur jari, buta mata,mengamuk, berkelahi atau terbakar rumah akibat letupan mercun untuk kita berhenti bermain bahan larangan itu? Atau kita nak tunggu ada orang mati di hadapan kita, mata kita atau ahli keluarga kita cedera atau buta?
Setakat mana cukup untuk kita ambil iktibar agar kita memerhatikan murid dalam kawalan kita sepanjang masa secara munasabah? Atau kita nak tunggu murid kita cedera,mati terjun bangunan, mati digigit tebuan, dilanggar kereta dalam kawasan sekolah oleh guru/ibu bapa/pelawat untuk kita mula berwaspada?
Setakat mana cukup untuk kita berwaspada mengawal dan mengawas peperiksaan dengan spesifikasi profesional LPM/MPM? Nak tunggu murid/ibu bapa mengadu kepada Pengetua, PPD, JPN atau menunggu orang mencemar nama sekolah kita di akhbar?
Setakat mana cukup untuk meyakinkan kita bahawa murid patut dianggap sebagai anak sendiri dalam menangani atau mendisiplinkan mereka? Perlukan kita tunggu hingga berumahtangga dan ada anak remaja belasan tahun untuk kita mempunyai perasaan sensitif demikian?
Meletakkan diri di tempat yang sepatutnya sebagai guru serta ibu/bapa di sekolah memerlukan sedikit masa dan latihan. Mari kita usahakan.
Cabaran, dugaan dan ujian Allah sentiasa menunggu. Soalnya, setakat manakah kita redha menghadapinya dengan keyakinan hamba yang setia? Atau kita akan goyah pendirian dan mencari kesalahan orang di sekeliling kita untuk disalahkan? Mungkin lebih mudah jika kita mencari penyelesaian dan membaiki keadaan. Kerana kesannya tidaklah nanti begitu berselerak ('messy'). Mural pada dinding tangga menghala ke Bilik Guru mengingatkan kita agar berhenti mencari kesalahan ('fault') dan mencari penyelesaian ('solution').
No comments:
Post a Comment