MENGENALI SMKBR

SMK BUKIT RANGIN
25150 KUANTAN
Tel : 09-536 6235
Faks : 09-536 1457
Emel : cea4081.smkbr@gmail.com
Tagline : BRASS SUPERB
Slogan : Kejayaan Milik Setiap Murid
Moto: Cendekia, Etika, Terampil
Visi : Sekolah Berkualiti Melahirkan Modal Insan Yang Unggul Menjelang Tahun 2025
Misi : Mengembangkan Potensi Individu Melalui Sistem Pendidikan Berkualiti dan Holistik
SELAMAT HARI GURU 2023-GURU INSANI PEMANGKIN GENERASI MADANI

Tuesday, 4 October 2011

Majlis Perpisahan Tuan Haji Abdul Rahim

19 Ogos. Jumaat terakhir Tuan Haji Abdul Rahim bin Mohd Yunus di SMK Bukit Rangin. Setelah lebih kurang dua tahun melaksanakan tugasan sebagai Pengetua SMKBR keempat, misi perjuangan beliau perlu diteruskan di SMK Sultanah Kalsom, juga sebagai Pengetua di sana. Majlis perpisahan yang diadakan secara serba sederhana tetapi penuh makna memandangkan pengurusan sekolah sedang sibuk membuat persiapan untuk peperiksaan percubaan PMR. Beberapa agenda telah diatur sempena majlis perpisahan tersebut antaranya tayangan multimedia, ucapan akhir Tuan Haji Abdul Rahim, penyampaian hadiah dan majlis bersalaman guru dan murid dengan mantan pengetua itu.

Tayangan multimedia sempena Majlis Perpisahan Tuan Haji Abdul Rahim bin Mohd Yunus, mantan Pengetua SMKBR (2009-2011). Lagu `Semalam' nyanyian kumpulan Mirwana yang diubahsuai daripada lagu `Yesterday' nyanyian kumpulan The Beatles dalam era 60an merupakan lagu favourite Tuan Haji Abdul Rahim.

Dalam ucapan akhir tersebut, Tuan Haji Abdul Rahim sempat berseloroh dalam kesedihan bahawa beliau tidak mahu semua yang hadir bersedih dengan perpisahan itu kerana beliau hanyalah beralih perkhidmatan ke sekolah lain. Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana mengadakan majlis seumpamanya (yang tidak beliau sangka), beliau juga menitipkan pesanan kepada semua warga untuk memberikan lebih perhatian dan kasih sayang kepada insan-insan yang kurang bernasib baik di SMKBR, tanpa mengira guru atau murid. Ketika cuba menahan hiba di dada, air mata kesedihan gagal juga dibendung apabila menyentuh tentang seorang guru SMKBR yang perlu difahami situasinya oleh semua orang dek kerana tekanan yang dialami tidak sama seperti manusia normal yang lain. Tuan Haji juga berpesan agar semua yang hadir sentiasa perihatin tentang kesukaran yang dialami oleh adik Fakhrul (murid Tingkatan 1 Jati Diri).


Bacaan doa

Ucapan Ketua Murid

Ucapan wakil guru

Ucapan akhir Tuan Haji Abdul Rahim bin Mohd Yunus

Cenederamata mantan YDP PIBG, Haji Dhalan

Cenderamata Badan Pengawas

Cenderamata Ketua Kelas

Cenderamata Pengawas Pusat Sumber

Cenderamata bekas murid

Cenderamata Naiem

Bersalam-salaman





Punch card terakhir
Semoga Tuan Haji sentiasa berjaya dalam segala lapangan yang diusahakan. Amanat Tuan Haji akan kami ingat dan pegang sampai bila-bila, insya Allah. Terima kasih sekalung budi Tuan!

Wednesday, 28 September 2011

Berakhirnya satu penantian...

Akhirnya, hari ini blog sekolah muncul semula setelah `hilang' lebih kurang satu bulan. Maka berakhirlah satu penantian yang tidak bertepi dan penuh harapan. `Separuh nyawa' yang hilang bagaikan datang kembali. Syukur kepada Yang Maha Pencipta kerana mengembalikan khazanah ini. Blog yang berusia dua tahun ini pasti akan meneruskan langkah selagi diizinkan Allah s.w.t. Terima kasih di atas sokongan semua rakan guru, staf dan para murid. Semoga blog ini dapat memberi sumbangan sedikit sebanyak kepada perkembangan pendidikan SMK Bukit Rangin yang tercinta. Wassalam. - Zarina Aziz/administrator

Monday, 15 August 2011

Lagu

Saya sentiasa ada lagu kenangan di sekolah. Di SMART tahun 90-an kami ada "Suci Dalam Debu" dendangan Saleem sebagai lagu motivasi program luar dan dalam. Kisah cinta profesional saya di SMK Seri Bentong terpancar jelas dalam "Ayat-Ayat Cinta" yang diilhamkan novel laris Habiburrahman al-Shirazi untuk filem Indonesia dengan jodol yang sama.

SMKBR? 2009,lagu termerdu yang saya dengar ketika di sini dalam minggu pertama ialah Lagu Sekolah dan Jasa Bonda . Hati saya melonjak tinggi apabila mendengar acapella "Semalam" yang digubah dari "Yesterday" (dendangan The Beatles -karya 1965:McCartney) oleh kumpulan nasyid kita. Tema keinsafan diserlahkan tepat, lunak dan menusuk. Ustazah Nagyah mempromosi program JK Kebajikan dengan "InsyaAllah" oleh Maher Zain yang juga lagu tema Kem Kepimpinan Pengawas pada tahun 2010. Kesannya hebat pada perasaan saya.

Di penghujung ini, lagu Roslan Madun "Lemak Manis" dimainkan oleh isteri saya untuk bahan KOMSASnya. Minda saya cepat menukar "anak siapa" kepada "sekolah siapa" ("Kupandanglah manis amboi amboi, anak siapa...")

KEPUTUSANNYA: Pemenang survey perasaan peribadi:"Semalam" adalah lagu saya di SMKBR. Terima kasih Cikgu Tengku, Cikgu Siti Nor Asyikin, Ustazah Sharifah dan tentunya "Shoutul Nasihah" yang turut mewarnai pengalaman singkat saya di SMKBR! SubhanAllah.

Apa Perasaan Saya?

Ada yang mula bertanya tentang perasaan saya menjelang 22 Ogos 2011.

Secara peribadi, saya harap tarikh itu tak menyebabkan saya tinggalkan SMKBR. Tetapi perasaan peribadi seorang penjawat awam dan kakitangan kerajaan tidak lebih penting berbanding pendirian profesional. Setiap tanda tangan saya sebagai Pengetua akan didahului dengan frasa: "Saya yang menurut perintah,". Kata "saya" hanya satu berbanding tiga kata lain. 25% saya, 75% tugas.
Mendahulukan tugas awam daripada peribadi juga jelas tercatat dalam Akujanji semua penjawat awam.

Anak saya balik bercerita bahawa kawannya berkata: "Kesian ayah awak kena pergi sekolah yang banyak lalat!". Saya cuma senyum dengan pandangan peribadi murid sekolah. Pandangan profesional melihat cabaran lebih besar daripada itu.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah (En. Wan Abdul Hamid) pernah meminta saya menyiapkan kertas kerja Cadangan Sekolah Rancangan Khas di SMKBR. Secara profesionalnya beliau mahu saya meletakkan standard baru kepada SMKBR sebagaimana 2 SRK yang saya tempa pengalaman bersama sebelumnya. Kami menyelesaikan kertas asas (dengan 70% data sokongan)tersebut secara profesional dalam masa 3 hari. GPK Pentadbiran, GPK HEM, GPK Kokurikulum dan Guru Kaunseling terlibat dan tahu.

Apabila En. Wan saya temui di JPNP, beliau hanya mengangkat kening dan menarik nafas menyatakan bahawa saya perlu digerakkan untuk menjaga SHAKS yang Pengetuanya mengisi kekosongan SMART. Jawapannya profesional dan hanya profesional sahaja yang faham.

Murid kita yang seorang ini pula berkata "Buat apa ke SHAKS, kat sini pun berlambak budak SHAKS!" Saya tak jawab.

Beberapa murid 1T dan 1D kata: "Nak ikut". Saya terharu, tetapi menjawab profesional: "Score PMR, kita jumpa di sana!"

Cikgu Norahishah bertanya "Is it true that you are leaving us?". Memang beliau saja yang sentiasa bercakap dengan saya menggunakan Bahasa Inggeris. Saya jawab: "That's for sure." Kerana saya fikir kalau tidak sekarang,akan datang berlaku juga.

Tapi saya ada menambah secara tak profesional apabila beliau mengucapkan tahniah: "I don't see anything good in that!" Maaf, bukan maksud saya tahniah itu tak bermakna bagi saya, atau pertukaran itu tak membawa kebaikan kepada saya, tetapi kekacauan perasaan ketika menjawab. Kelemahan saya. Macam-macam ada dalam minda!

Saya masih amat memikirkan apa yang telah kami rancang dan impaknya yang bakal disaksikan. Murid SPM sekarang yang kami cuba orientasikan selepas PMR 2009 dulu bakal membuktikan keupayaan. Calon PMR yang dirancang untuk memecahkan rekod. Masalah ponteng yang makin berkurang tetapi tetap perlukan perhatian. Rumah murid yang nak dilawati. Penjaga yang akan dihadapi. Guru yang perlukan pembelaan. Padang sekolah yang nak dipulihkan dengan belanja RM300,000. Senarai lebih panjang murid yang perlukan bantuan. Tinju SUKMA 2012 yang kita menjadi venue pertandingan. Saya mungkin tidak akan dapat melihatnya sebagai seorang Pengetua lagi.

Adakah perasaan kecewa? Tidak, tetapi lebih kepada rasa tidak berdaya menahan gelombang perasaan yang bercampur-baur. Saya juga sedang mengumpul kekuatan untuk menghadapi medan sekolah yang semua muridnya di asrama. Deja vu? Macam Seri Bentong? (Tv di sebelah komputer ini sedang menyiarkan sedutan video mendiang Shammi Kapoor, hero Hindustan yang baru meninggal dunia - filem Brahmanchari - sedang berdendang di asrama anak yatim jagaannya. Cadar dan selimut putih melepak, katil bertingkat - mengembalikan ingatan zaman saya di sekolah lebih 30 tahun dulu).

Rakan-rakan mengucapkan tahniah: Di masjid sebelum khutbah, di JPNP, panggilan dan sms telefon. YB Zaili, Pengerusi dan S/U Masjid Bukit Rangin turut mendapat berita. Cuma saya nyatakan itu bukan kenaikan pangkat. Pangkat/gred tak berubah, tetapi tanggungjawabnya berubah menjadi 24 jam! Hajah Rubiah (mantan Pengetua kami di SMART)yang kini mengetuai pentadbiran asrama anak yatim di Indera Mahkota, hari ini dalam tertawa menyatakan "Tahniahlah, kerja banyak!". Dia amat memahami tugas profesional Pengetua sekolah berasrama.

Apa perasaan saya? 25% peribadi. 75% profesional. Moga Allah melindungi saya daripada perasaan yang membebankan.

Sunday, 14 August 2011

Setakat Manakah Cukup?

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, banyak perkara berlaku yang menimbulkan persoalan:Setakat manakah cukup? Setakat manakah cukup peringatan, makluman, kejadian dan pengalaman yang dapat menyedarkan kita warga pendidik?

'Experience is the best teacher', demikian kata hikmat Inggeris yang kami belajar dalam kelas dulu. Masalahnya ialah berapa kali kita "sudah terhantuk baru tengadah", seperti ujar perumpamaan Melayu? Sebab itulah kita patut juga memikirkan coretan seorang penulis yang menegaskan: "Manusia belajar dari kesilapan, tetapi saya belajar dari kesilapan orang lain." Kita patut banyak belajar dari kesilapan dan pengalaman orang lain di sekeliling kita. Taklah banyak sangat silapnya.

Amat ideal bunyinya; asal saja kita membuat refleksi kesalahan/kesilapan/pengalaman orang, kita akan jadi bijak dan kurang melakukan kesilapan. Maka, manusia yang selalu menonton filem, drama, berita, cerita, bergaul bersama orang ramai, dengar hadis, baca dan faham ayat al-Quran akan kuranglah silap mereka. Saya fikir: BELUM TENTU!

Kita sering mengulang kesilapan. Bila dan bagaimanakah keadaannya? Apabila letih, lapar, marah, kurang tidur, tertekan, keliru, malas, kaya-raya, melarat,terdesak,terlalu seronok, didorong nafsu, dipengaruhi manusia, jin, Iblis dan segala macam hal/keadaan, silap juga! Silap itu pula grednya boleh jadi biasa atau berdosa. Soal hukum taklifi: Wajib, Sunat,Haram,Makruh dan Harus jadi perkiraan orang Islam dalam semua perbuatan. Dalam berkira dan berhukum itu pun kita masih lagi boleh silap dan terjerumus.

Setakat manakah cukup kita tahu/dengar/tonton/baca hal orang kita yang putus jari, hancur jari, buta mata,mengamuk, berkelahi atau terbakar rumah akibat letupan mercun untuk kita berhenti bermain bahan larangan itu? Atau kita nak tunggu ada orang mati di hadapan kita, mata kita atau ahli keluarga kita cedera atau buta?

Setakat mana cukup untuk kita ambil iktibar agar kita memerhatikan murid dalam kawalan kita sepanjang masa secara munasabah? Atau kita nak tunggu murid kita cedera,mati terjun bangunan, mati digigit tebuan, dilanggar kereta dalam kawasan sekolah oleh guru/ibu bapa/pelawat untuk kita mula berwaspada?

Setakat mana cukup untuk kita berwaspada mengawal dan mengawas peperiksaan dengan spesifikasi profesional LPM/MPM? Nak tunggu murid/ibu bapa mengadu kepada Pengetua, PPD, JPN atau menunggu orang mencemar nama sekolah kita di akhbar?

Setakat mana cukup untuk meyakinkan kita bahawa murid patut dianggap sebagai anak sendiri dalam menangani atau mendisiplinkan mereka? Perlukan kita tunggu hingga berumahtangga dan ada anak remaja belasan tahun untuk kita mempunyai perasaan sensitif demikian?

Meletakkan diri di tempat yang sepatutnya sebagai guru serta ibu/bapa di sekolah memerlukan sedikit masa dan latihan. Mari kita usahakan.

Cabaran, dugaan dan ujian Allah sentiasa menunggu. Soalnya, setakat manakah kita redha menghadapinya dengan keyakinan hamba yang setia? Atau kita akan goyah pendirian dan mencari kesalahan orang di sekeliling kita untuk disalahkan? Mungkin lebih mudah jika kita mencari penyelesaian dan membaiki keadaan. Kerana kesannya tidaklah nanti begitu berselerak ('messy'). Mural pada dinding tangga menghala ke Bilik Guru mengingatkan kita agar berhenti mencari kesalahan ('fault') dan mencari penyelesaian ('solution').





Wednesday, 10 August 2011

Antara 'Award' & 'Box-Office'

Menang 'award' dan pecah 'box-office' kata Cikgu Nasri. Saya tak berpeluang menghayati tayangan Movie Maker oleh Ustazah Nagyah dan krew JK Kebajikan bersama semua guru. Saya mengambil masa sendiri, seorang diri menontonnya selepas perjumpaan tamat.

Bohonglah jika saya tak rasa sedih. Juga bohong jika air mata tak mengalir. Paparan wajah anak-anak SMKBR yang memerlukan perhatian memang meruntun perasaan. Dalam 2 tahun lebih, saya tak pernah melihat keadaan yang lebih mendesak. Kisah kedaifan anak-anak kita serta keluarga mereka bukan drama rekaan.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Lagi kuat kita berusaha membantu, lebih banyak yang Allah "bukakan" untuk kita. Kisah mereka takkan terbuka jika kita hanya bertekad mengajar sebaik mungkin. Menjadi guru atau pengajar biasa bukannya sukar. Tak susah jika hanya berkejar ke sekolah untuk tiba jam 7.30 pagi dan bergegas balik jam 2.40 petang.

Kerap kita merungut murid tak bermotivasi, malas, lesu, tidur dan tak berminat. Motivasi apanya, minat apanya, jika mereka mengheret kaki yang berat ke pintu pagar sekolah saban hari. Mereka tak bersarapan setiap pagi dan tidak mampu berbelanja ketika anak-anak lain berselera makan tak mengangkat muka di meja kantin. Muka mereka pucat menahan lapar yang menggigit, mata tak berseri keletihan menghadapi hidup.

Mereka jarang menyarung baju baru, sedangkan anak-anak kita di rumah mengambil masa yang lama memilih baju mana yang nak dipakai sepenuh almari. Menjadi guru prihatin yang mengambil tahu dan mengambil tindakan memang sukar.

Saya pernah mengulang-ulang kata bahawa jika kita cuba membantu, Allah akan buka jalan. Allah Maha Kaya. Jika kita tak mampu,Allah kirim orang lain untuk bantu. Kita jangan berkira memberi kerana jika Allah mula berkira memberi kepada kita, hidup kita bakal sempit. Allah telah,sedang dan akan menguji kita.

Maka, bangga rasanya apabila melihat JK Kebajikan mengumpul data, menemu bual,mengambil gambar,dan menyusun persembahan. Saya tak sempat dan tak mampu melakukannya. Saya tak boleh bekerja tanpa 'team' yang begini. Kalaulah kita semua nampak kelebihan usaha begini dalam tugas-tugas di sekolah, SMKBR akan mencipta kenangan terindah buat anak-anak didiknya.

Tak 'glamour' keputusan akademik yang meningkat jika kita mengelak daripada menyelami rasa hati murid kita. Pengalaman telah mengajar saya bahawa pada saat kita mula mengambil berat, meraka akan menunjukkan perubahan tingkah laku.

Kenapa murid SMKBR menganggap sekolah kita ialah sekolah terbaik apabila mereka bertukar sekolah? Sindrom "gila talak"? Kerana bangunan cantik? Bersih? Aman? Cikgu lebih 'handsome', cantik,bergaya dan lawa? Atau sebenarnya kerana kita ambil berat, peduli, cakna dan mendengar luahan atau sedia menerima mereka tanpa syarat, menghormati serta menyayangi?

Kita dah berbuat sesuatu yang menyentuh hati dan mengubah pandangan hidup mereka bahawa harapan masih ada.Senarai murid kita yang perlukan bantuan sudah membuka mata banyak pihak. Terima kasih semua yang terasa dan berkongsi keprihatinan. Terima kasih kepada semua yang menyumbang. Moga kita terus berikhtiar membawa perubahan yang berwarna-warni ceria sebagaimana yang dicatat oleh Cikgu Puteri dalam ‘promo’ majalah sekolah.

Kalau ada award untuk promosi program sekolah, pemenangnya sudah tentu Ustazah Nagyah dan krewnya! Dalam ketidakmampuan kita, saya serahkan kepada Allah untuk menilai dan membalasnya. Yang pastinya hati saya makin berat meninggalkan anak-anak SMKBR. Atau berat kerana sebenarnya hati saya akan tertinggal di sini…

Tuesday, 9 August 2011

Program Bulan Membaca 2011


UNIK. Begitulah yang boleh dikatakan dengan program Bulan Membaca yang dilancarkan pada Isnin 8 Ogos baru-baru ini di Dewan Bitara. Semua murid dan guru dibekalkan satu naskhah bahan bacaan dan diberi masa 10 minit untuk mentelaah bahan tersebut. Suasana di dewan menjadi sunyi seketika. Semua mata tertumpu kepada bahan bacaan yang dibekalkan. 10 minit berlalu. Masing-masing, guru dan murid, sama-sama menuggu giliran (sekiranya terpilih) untuk membaca atau membuat resensi tentang bahan yang dibaca. 3 orang murid dan seorang guru bertuah telah selesai membuat tugasan masing-masing, dengan cara tersendiri. Ada juga yang diiringi dengan `sound effect' orang selsema. Simple tetapi menghiburkan dan bermaklumat. Walau bagaimanapun, semuanya boleh dan mampu walaupun semua murid yang `terpanggil' itu tidak pernah berucap di khalayak pun. Mungkin program sebegini boleh menjadi titik tolak mencungkil bakat terpendam dan terperam.
          Bulan Membaca bertujuan menggalakkan aktiviti membaca dalam kalangan warga sekolah terutamanya anak didik yang memerlukan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa. Bulan membaca  peringkat kebangsaan dipelopori oleh Perpustakaan Malaysia dan disokong sepenuhnya oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.  
            Aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang Bulan Membaca
1.   Pelancaran Bulan Membaca
2.   Ulasan buku/artikel
3.   Pertandingan peminjam buku terbanyak
4.   Pertandingan teka silang kata
5.   Pertandingan menghias sudut bacaan kelas