MENGENALI SMKBR

SMK BUKIT RANGIN
25150 KUANTAN
Tel : 09-536 6235
Faks : 09-536 1457
Emel : cea4081.smkbr@gmail.com
Tagline : BRASS SUPERB
Slogan : Kejayaan Milik Setiap Murid
Moto: Cendekia, Etika, Terampil
Visi : Sekolah Berkualiti Melahirkan Modal Insan Yang Unggul Menjelang Tahun 2025
Misi : Mengembangkan Potensi Individu Melalui Sistem Pendidikan Berkualiti dan Holistik
SELAMAT HARI GURU 2023-GURU INSANI PEMANGKIN GENERASI MADANI

Wednesday 10 August 2011

Antara 'Award' & 'Box-Office'

Menang 'award' dan pecah 'box-office' kata Cikgu Nasri. Saya tak berpeluang menghayati tayangan Movie Maker oleh Ustazah Nagyah dan krew JK Kebajikan bersama semua guru. Saya mengambil masa sendiri, seorang diri menontonnya selepas perjumpaan tamat.

Bohonglah jika saya tak rasa sedih. Juga bohong jika air mata tak mengalir. Paparan wajah anak-anak SMKBR yang memerlukan perhatian memang meruntun perasaan. Dalam 2 tahun lebih, saya tak pernah melihat keadaan yang lebih mendesak. Kisah kedaifan anak-anak kita serta keluarga mereka bukan drama rekaan.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Lagi kuat kita berusaha membantu, lebih banyak yang Allah "bukakan" untuk kita. Kisah mereka takkan terbuka jika kita hanya bertekad mengajar sebaik mungkin. Menjadi guru atau pengajar biasa bukannya sukar. Tak susah jika hanya berkejar ke sekolah untuk tiba jam 7.30 pagi dan bergegas balik jam 2.40 petang.

Kerap kita merungut murid tak bermotivasi, malas, lesu, tidur dan tak berminat. Motivasi apanya, minat apanya, jika mereka mengheret kaki yang berat ke pintu pagar sekolah saban hari. Mereka tak bersarapan setiap pagi dan tidak mampu berbelanja ketika anak-anak lain berselera makan tak mengangkat muka di meja kantin. Muka mereka pucat menahan lapar yang menggigit, mata tak berseri keletihan menghadapi hidup.

Mereka jarang menyarung baju baru, sedangkan anak-anak kita di rumah mengambil masa yang lama memilih baju mana yang nak dipakai sepenuh almari. Menjadi guru prihatin yang mengambil tahu dan mengambil tindakan memang sukar.

Saya pernah mengulang-ulang kata bahawa jika kita cuba membantu, Allah akan buka jalan. Allah Maha Kaya. Jika kita tak mampu,Allah kirim orang lain untuk bantu. Kita jangan berkira memberi kerana jika Allah mula berkira memberi kepada kita, hidup kita bakal sempit. Allah telah,sedang dan akan menguji kita.

Maka, bangga rasanya apabila melihat JK Kebajikan mengumpul data, menemu bual,mengambil gambar,dan menyusun persembahan. Saya tak sempat dan tak mampu melakukannya. Saya tak boleh bekerja tanpa 'team' yang begini. Kalaulah kita semua nampak kelebihan usaha begini dalam tugas-tugas di sekolah, SMKBR akan mencipta kenangan terindah buat anak-anak didiknya.

Tak 'glamour' keputusan akademik yang meningkat jika kita mengelak daripada menyelami rasa hati murid kita. Pengalaman telah mengajar saya bahawa pada saat kita mula mengambil berat, meraka akan menunjukkan perubahan tingkah laku.

Kenapa murid SMKBR menganggap sekolah kita ialah sekolah terbaik apabila mereka bertukar sekolah? Sindrom "gila talak"? Kerana bangunan cantik? Bersih? Aman? Cikgu lebih 'handsome', cantik,bergaya dan lawa? Atau sebenarnya kerana kita ambil berat, peduli, cakna dan mendengar luahan atau sedia menerima mereka tanpa syarat, menghormati serta menyayangi?

Kita dah berbuat sesuatu yang menyentuh hati dan mengubah pandangan hidup mereka bahawa harapan masih ada.Senarai murid kita yang perlukan bantuan sudah membuka mata banyak pihak. Terima kasih semua yang terasa dan berkongsi keprihatinan. Terima kasih kepada semua yang menyumbang. Moga kita terus berikhtiar membawa perubahan yang berwarna-warni ceria sebagaimana yang dicatat oleh Cikgu Puteri dalam ‘promo’ majalah sekolah.

Kalau ada award untuk promosi program sekolah, pemenangnya sudah tentu Ustazah Nagyah dan krewnya! Dalam ketidakmampuan kita, saya serahkan kepada Allah untuk menilai dan membalasnya. Yang pastinya hati saya makin berat meninggalkan anak-anak SMKBR. Atau berat kerana sebenarnya hati saya akan tertinggal di sini…

5 comments:

  1. Masyaallah......

    ReplyDelete
  2. Thanku for the compliment

    ReplyDelete
  3. Syukran ala at tahiyyah, semuanya dengan dorongan Tuan Haji juga.

    ReplyDelete
  4. sedap dengar bila semua cikgu bekerjasama membantu murid. Tapi ada sesuatu yang sangat tak sedap untuk didengar.....kan?

    ReplyDelete
  5. Dah fitrah hidup manusia. Sedap dan tak sedap tu kan pakej. Memang ada. Terpulang pada kita menghadapinya. Tak gitu?

    ReplyDelete